Falsafah Taktikal: Ulisses Morais Dan 4-3-3 Berintensiti Tinggi JDT Musnah Pertahanan Lawan

Siapakah Ulisses Morais? Rata-rata pengikut bola sepak tanah air tertanya-tanya, siapakah gerangan pengendali dari Portugal yang mengambil alih jawatan Ketua Jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Tiada sebarang rekod nyata dicatatkan oleh Morais. Malah Morais merupakan individu yang hampir tidak dikenali oleh dunia bola sepak di luar Portugal.

Kita semua tahu bagaimana serius pengurusan kelab bola sepak dari selatan tanah air ini dalam memilih pengendali yang tepat untuk pasukan mereka.

Soalan pertama yang hadir di fikiran penulis saat pengumuman dilakukan oleh pihak JDT ialah: “Adakah JDT benar-benar melakukan ‘homework’ sebelum melantik Morais?”

Melalui artikel ini, penulis ingin berkongsi perubahan dan juga falsafah bola sepak Ulisses Morais yang diterapkan di JDT sehingga berjaya merangkul gelaran Liga Super 2017.

Latar belakang

Fasa serangan bermula daripada kejayaan menguasai bola. Bola digerakkan secara spontan, dan kita menyaksikan banyak gerakan-gerakan berpaksikan kemahiran individu.

Pemain-pemain yang ditunkan sangat kreatif dan kebanyakkan pemain mempunyai skil menggelecek yang tinggi. Ini adalah cara dan corak permainan bola sepak daripada Latin secara amnya.

Apabila berbicara mengenai bola sepak Latin, ini tidak bermakna ia tertakluk kepada ikatan geografi semata-mata. Bola sepak Latin merujuk kepada bola sepak yang diperagakan oleh pasukan seperti Brazil, Argentina, Sepanyol dan juga Portugal.

Sepanyol dan Portugal adalah dua negara eropah. Tetapi bola sepak di 2 kuasa besar bola sepak eropah ini mempunyai salasilah dan kaitan dengan bola sepak yang diperagakan di Argentina dan Brazil.

Ini menjelaskan jenis bola sepak yang mempengaruhi Morais.

S.C. Covilhã, GD Bragança, U.D. Guarda, Sport Benfica e Castelo Branco, Varzim S.C. dan G.D. Peniche di Divisyen 2, diikuti oleh O Elvas C.A.D. di Primeira Liga merupakan antara kelab di Morais pernah memperagakan aksi selama 18 tahun bergelar pemain.

Sejurus bersara, Morais turut melatih pasukan seperti Gil Vicente FC, C.S. Marítimo, Associação Naval 1º de Maio, F.C. Paços de Ferreira, Académica de Coimbra dan juga S.C. Beira-Mar, menjadikan jurulatih ini mempunyai lebih daripada 20 tahun pengalaman sebagai jurulatih di Portugal.

Formasi 4-3-3 dan variasi serangan pelbagai

Ulisses Morais adalah seorang jurulatih yang gemar menggunakan formasi 4-3-3.Secara umum, formasi 4-3-3 dibina untuk menguasai bahagian tengah dan memberikan variasi ketika serangan.

Kebiasaannya, salah seorang daripada pemain tengah tersebut akan bermain lebih bertahan dan mengambil peranan pemain No.6. Posisi ini sering diisi oleh pemain berusia 23 tahun, Afiq Fazail.

Peranan oleh Afiq ini juga lebih dikenali sebagai pivot tunggal. Sistem ini sekaligus menghapuskan 2 pivot yang sering digunapakai ketika era Benjamin Mora.

Ketibaan Natxo Insa pada jendela perpindahan kedua yang lalu juga signifikan kepada taktikal Morais. Gandingan Natxo-Safiq boleh dianggap sebagai gandingan tengah terbaik yang ada di Liga Super.

Penulis lebih gemar menganggap kedua-dua pemain sebagai pemain ‘box to box midfielder’. Selain daripada mencipta peluang, kedua-duanya juga akan membantu Afiq/Amirul membentuk blok pertama pertahanan ketika pasukan menerima serangan.

Kredit: Axello Tacts. Semuanya BOLA

Perhatikan lakaran taktikal (gambar bawah) oleh pengalisis kami ketika JDT bertemu dengan Sarawak dalam saingan Liga Super. Safiq dan juga Natxo Insa adalah titik fokal memulakan serangan buat pasukan JDT.

Lebih daripada itu, Safiq dan Natxo turut mempunyai penyudah yang bagus, untuk membantu pasukan menjaringkan gol dan sentiasa memberi sokongan kepada penyerang jika kehilangan bola.

Pressing yang dilakukan di kawasan pertahanan lawan (gambar atas), adalah untuk merebut bola kembali secepat mungkin. Selain daripada untuk membuat gerakan balas pantas, ia adalah kaedah terbaik untuk bertahan.

Kredit: Axello Tacts. Semuanya BOLA

Rangkaian 5 pemain; Safiq-Natxo di tengah dan Cabrera-Ghaddar-Guerra adalah pemain yang mempunyai kebolehan teknikal dan skil yang tinggi.

Ini memudahkan Morais untuk menerapkan falsafah bola sepak beliau yang mementingkan penguasaan bola (possession), fluidity dalam serangan, kepantasan, dan penyudah yang tajam.

S. Kunanlan dan juga Fazly Mazlan yang bermain sebagai bek sayap kanan dan kiri turut akan membantu serangan pasukan dengan larian di setiap sisi.

Ini menjadikan formasi 4-3-3 Ulisses Morais di JDT mempunyai depth yang kuat dari setiap sudut ketika melancarkan serangan.

Pelan B Morais: Sistem 4-2-4, Safawi Rasid jadi sandaran

Seperti yang dinyatakan di atas, taktikal Morais banyak bersandarkan kepada keupayaan teknikal pemain yang dimilikinya. Walaupun formasi 4-3-3 mempunyai intensiti serangan yang bagus, tidak bermakna pasukan lawan sudah bersedia untuk menghadapi taktikal sedemikian.

Musim ini kita telah menyaksikan Morais dan JDT buntu menghasilkan gol walaupun menguasai perlawanan dalam beberapa perlawanan.

Contoh gerak serangan 4-2-4 JDT vs Sarawak

Maka salah satu Pelan B yang selalu digunakan oleh Morais ialah formasi 4-2-4. Oleh kerana JDT, sememangnya menguasai perlawanan, peranan pemain tengah bertahan seakan-akan tidak diperlukan lagi.

Kebiasaannya, Afiq akan dikeluarkan dan Safawi Rasid atau pun Hazwan Bakri akan dimasukkan untuk membentuk rangkaian 4 penyerang di atas. Gambar di atas adalah ketika perlawanan menentang Sarawak, dan bagaimana JDT memerangkap pertahanan Sarawak menggunakan formasi 4-2-4.

4-2-4 JDT vs Perak; Kredit: Axello Tacts. Semuanya BOLA

4 pemain di hadapan, akan membenarkan JDT 1 vs 1 di bahagian techical area pertahanan lawan.

Buat masa ini, formasi 4-2-4 Ulisses Morais agak berkesan untuk dipraktikkan ketika mereka buntu untuk menghasilkan gol.

Nilai tambah Morais

Seorang jurulatih yang bagus, bukan sekadar mempunyai kepakaran taktikal yang mantap. Lebih daripada itu, seorang jurulatih harus tahun bagaimana untuk menggunakan pemain-pemain yang dimilikinya untuk mencapai potensi tertentu bersama pasukan.

Sebelum ketibaan Morais, 3 pemain skuad utama yang kelihatan seperti sudah tidak mempunyai masa hadapan bersama JDT, tampil bangkit.

Kredit: JOHOR Southern Tigers, Facebook.

Fadhli Shas kembali menjadi watak penting di benteng pertahanan. Morais bukan sahaja kagum dengan keupayaan Fadhli mengawal bahagian pertahanan, malah pemain ini turut membuktikan dirinya mampu menjadi aset dalam gerakan set piece pasukan.

Junior Eldstal turut bagaikan mendapat nafas baharu di bawah bimbingan Morais. Di bawah kendalian Morais, Eldstal berubah posisi sebagai pemain tengah pertahanan kepada pemain pertahanan tengah.

Posisi tersebut bukanlah asing buat Eldstal kerana pernah melakukannya ketika bersama Sarawak. Susuk tubuhnya yang tegap dan tinggi juga merupakan aset untuk beliau bermain di posisi tersebut. Adakah Eldstal akan bermain secara tetap di posisi pemain pertahanan tengah pada musim hadapan?

Kredit: JOHOR Southern Tigers, Facebook.

Gary Steven Robbat adalah seorang lagi pemain yang kembali mendapat keyakinan di bawah kendalian Morais.

“Saya jarang berbicara mengenai sumbangan individu seseorang pemain kepada pasukan. Namun kali ini ia berbeza. Gary telah menunjukkan permainan yang sangat bagus. Ini membuktikan betapa pentingnya Gary kepada JDT,” ujar Morais mengulas prestasi Gary selepas menewaskan Selangor 3-1 pada September lalu.

Ulasan daripada Morais ini cukup untuk menggambarkan kebangkitan Gary Steven Robbat bersama JDT.

Rumusan

Secara keseluruhan kami berpendapat Ulisses Morais adalah pengendali yang bijak menggunakan potensi di dalam setiap pemain yang dimilikinya.

Morais mempelajari dan mengenali pemain beliau dengan sangat cepat. Melakukan keputusan lebih baik dalam pemilihan kesebelasan utama. Misalnya tidak menjadikan Amirulhadi sebagai pemain no.6 utama seperti yang dilakukan Mora.

Alasan Mora sebelum ini, Amirul tinggi dan boleh memenangi bola di udara. Itu agak naif kerana posisi no.6 perlukan pemain yang dinamik bukannya terlalu fizikal.

Beliau memastikan pemain selesa dengan arahannya dan mampu melakukan tugasan yang diberi berdasarkan keupayaan yang dimiliki pemain.

Formasi dan taktikal 4-3-3 berintensiti tinggi Ulisses Morais telah berjaya menawan Liga Super 2017. Adakah Morais dan JDT akan berjaya mengulangi intensiti kejayaan yang sama dalam pertandingan Piala Malaysia?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN