Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL KAJIAN & FAKTA

Analisis: Falsafah Taktikal Aidil Sharin Di Kedah Yang Pentingkan Disiplin Dalam Formasi

Aidil Sharin telah menunjukkan dengan jelas konsep dan sistem permainan yang beliau mahukan dalam pasukan Kedah pada musim ini.

Berikut adalah analisis ringkas kami tentang falsafah dan corak permainan pasukan Kedah di bawah bimbingan beliau berdasarkan beberapa perlawanan pasukan Kedah pada awal musim ini.

Formasi

Buat masa ini Aidil Sharin memilih formasi 4-3-3 sebagai formasi utama pasukan Kedah. Mereka juga boleh bermain dengan sistem 4-2-3-1 dan juga 4-4-2.

Baddrol Bakhtiar dijadikan sebagai pemain no.6. Ini bukanlah kali pertama Baddrol bermain peranan itu, kerana sejak di bawah Tan Cheng Hoe lagi Baddrol sudah menjadi pemain ‘back up’ untuk peranan no.6.

Selepas itu, Ong Kim Swee antara jurulatih yang gemar menggunakan Baddrol Bakhtiar sebagai pemain no.6. Malah pada musim lalu, Ramon Marcote sendiri kerap menggunakan Baddrol dalam formasi itu.

Sistem deep lying playmaker

Aidil mahukan seorang deep lying playmaker di dalam sistem beliau. Jadi Baddrol adalah pilihan terbaik beliau ketika ini.

Idea untuk menjadikan Baddrol sebagai pemain no.6 adalah kerana kemampuan beliau untuk melakukan hantaran menukar arah bola dalam permainan. Dengan adanya Baddrol menjadi ‘deep lying playmaker’, ianya akan memberikan lesen kepada Fazrul Danel dan Baummann untuk bergerak segera ke hadapan pada fasa transisi.

Namun Baddrol Bakhtiar perlu meningkatkan lagi aspek pertahanan beliau supaya lebih kemas dan tidak banyak melakukan kesilapan ketika melindungi bek berempat.

Kestabilan di tengah

Dalam beberapa perlawanan ini, Kedah dilihat sangat berdisiplin ketika bertahan. Namun penekanan utama Kedah lebih kepada kestabilan di tengah. Jika anda merasakan mereka terlalu defensif, anda mungkin kaji balik, kerana Aidil Sharin kerap menaikkan garisan bek berempat beliau lebih tinggi.

Ini kerana, Aidil mementingkan kestabilan dan juga unit tengah yang sentiasa ada kelebihan secara numerical. Sokongan secara ‘depth’ ini yang akan membuatkan mereka dapat bertahan di tengah dengan lebih baik.

Fazrul lebih kepada pemain yang tipikal no.4. Namun kekuatan mereka selain daripada Baddrol Bakhtiar adalah peranan Jonathan Baumann yang bermain sebagai box to box.

Ini adalah gambaran sistem 4-3-3 ataupun 4-2-3-1 yang mereka kembangkan pada fasa serangan di mana 2 pemain bek sisi tidak sama – seorang lebih ‘advance’ dan seorang lagi lebih rigid.

Alif Yusof kurang mobiliti serta kelicikan ketika menyerang. Oleh itu beliau tidak perlu terlalu ‘advance’ untuk menyerang.

Idea menjadikan Zaquan lebih ‘pasif’ berbanding dengan Almubaraki kerana pemain itu boleh menjadi pemain serangan tengah tambahan apabila perlu. Ini ditambah dengan kemampuan Rizal Ghazali yang lebih mobiliti.

Fasa bertahan

Ketika bertahan Kedah akan cuba membentuk 4-5-1 ataupun 4-4-2. Seperkara yang jelas tentang sistem Aidil Sharin adalah beliau mengarahkan anak-anak buah beliau memburu bola dan cuba memenanginya dengan segera.

Aidil Sharin sangat mementingkan aspek bertahan dalam unit. Oleh itu 2 pemain sayap mereka akan sentiasa turun untuk mengejar / ‘track back’ serta membentuk rantaian pertahanan di garisan tengah.

Mereka juga ada pelan untuk membentuk 2 banks of four apabila pemain seperti Bauman ataupun mana-mana pemain serangan tidak dapat turun mebentuk garisan tengah berlima.

Pada fasa bertahan penekan pertama ataupun kedua akan menekan bola secara agresif dengan segera, dan pemain yang berada di 2 garisan belakang akan cuba membentuk struktur bertahan.

Gambar: Spievelagerung / Gambaran ringkas bagaimana beberapa pemain di hadapan menekan bola dan pemain di garisan belakang akan ‘reshape’

Kedah akan cuba menutup ruang dan menyukarkan pasukan lawan bergerak di antara 2 garisan tengah dan bertahan mereka. Kedah akan berusaha menolak lawan mereka ke bahagian sayap dengan segera.

Namun cabaran kepada sistem yang agresif menekan bola ini adalah disiplin dan keputusan yang dibuat oleh pemain kerap mendedahkan mereka kepada ancaman daripada pemain yang licik.

Ini kerana jika pemain pertahanan Kedah tidak kemas dalam usaha memenangi bola, mereka berhadapan ancaman pemain yang boleh mengagak tindakan pemain Kedah yang akan cuba segera mahu ‘mencucuk’ bola.

Dalam perlawanan menentang PKNS, mereka terdedah dengan ancaman oleh pemain seperti Faizat Ghazali dan Romel Morales yang mengumpan pertahanan Kedah untuk melakukan bentesan. Ia memerlukan kesemua pemain mempertajamkan kualiti bertahan.

Kemudiannya, pada aksi menentang Pahang, Aidil Sharin memperbaiki aspek bertahan secara zonal dan mengurangkan pendekatan terlalu agresif ke atas bola. Mereka kemudiannya memperbaiki aspek ‘doubling’ (bertahan secara berlapis) dalam bertahan.

Kata kunci utama adalah, ‘reshape’ dengan segera. Supaya ancaman dapat dimatikan dengan lebih awal.

Di garisan akhir pertahanan mereka ada gandingan ball playing center back dan ball winning center back iaitu gandingan Shakir Hamzah dan Renan Alvez.

Corak serangan

Sistem serangan Kedah bukanlah berasaskan fluiditi. Mereka menekankan aspek lebih kelangsungan (directness) dalam serangan. Para pemain sayap akan cuba segera untuk menghantar bola ke dalam kotak penalti.

Oleh itu, pemain seperti Rizal Ghazali sangat diperlukan untuk melakukan larian lewat daripada belakang sebelah sisi untuk membekalkan ‘width’ di zon sangat tinggi.

Kemudiannya, Aidil Sharin sangat gemar memberikan motivasi agar para pemainnya yang beraksi di tengah dan pertahanan agar tidak takut untuk naik. Intensiti dan kepantasan dalam menggerakkan bola adalah penting.

Seterusnya Aidil Sharin kerap menjadikan Bauman untuk menjadi 3rd man runner dalam sistem beliau dan Aidil sebagai pemain penyerang tengah tambahan membantu Fernando Rodriguez dalam situasi tertentu.

Bauman boleh dikatakan titik fokal penting untuk Kedah memecahkan zon padat pasukan lawan.

Kecepatan dan kesegeraan (urgency) mereka ini yang banyak memberikan masalah kepada pertahanan yang gagal untuk ‘reshape’ ataupun ‘regroup’ dengan segera.

Namun sehingga ke perlawanan ke-6 Liga Super, masalah utama Kedah adalah terlalu banyak mempersiakan peluang terhidang (big misses) terutama sekali Fernando Rodriguez yang merupakan penyerang utama mereka.

Rumusan

Rumusannya Kedah cuba membentuk struktur yang ketat (tight) dan agresif ketika bertahan. Ketika menyerang mereka mahu bola digerakkan segera secara lebih direct.

Dari segi sistem, para pemain Kedah faham apa yang Aidil Sharin mahukan, walaupun mereka baru bersama dalam masa beberapa bulan sahaja. Namun aspek penyudah (finishing) perlu diperbaiki. Jika penyudah mereka lebih baik, Kedah pastinya akan memiliki skuad yang lebih lengkap sebagai satu pasukan.

Seterusnya adalah disiplin ketika bertahan. Fokus ketika bertahan itu sangat penting. Pemain yang hilang fokus akan merosakkan struktur pertahanan terutama sekali dalam sistem yang menaikkan garisan pertahanan ke garisan agak tinggi.

Aidil sangat pentingkan disiplin dalam formasi ketika bermain di atas padang. Formasi ketika bertahan, membina serangan dan juga ketika bermain di kawasan lawan.

Secara teknikal mereka ada pemain yang baik sama ada sebagai pemain individu ataupun pemain pasukan.