Melihat Falsafah ‘Gedebe Berprinsip’ Pok Ya Cong Codei Dari Perspektif Bola Sepak Kita

Telefilem berjudul Pok Ya Cong Codei telah menjadi tular di kalangan ‘netizen’ dan rakyat Malaysia. Telefilem santai arahan seniman Sabri Yunus, dengan watak utama Pok Ya dilakonkan oleh beliau sendiri berjaya menarik perhatian ramai.

Disiarkan melalui saluran Astro Citra Exclusive dan juga Mustika HD, tanpa disedari ia turut mengandungi pelbagai mesej untuk diketengahkan membabitkan isu masyarakat pada masa kini.

Setelah menonton telefilem ini, penulis berpendapat terdapat beberapa isu yang boleh kita jadikan iktibar dan berkaitan dengan senario bola sepak semasa di dalam negara.

Apakah pengajaran yang boleh kita aplikasikan daripada telefilem Pok Ya Cong Codei kepada kancah saingan bola sepak tempatan?

Bola sepak kita, tanggungjawab kita

Pok Ya dikenali sebagai seorang individu yang berpengaruh. Ketika diminta oleh Datuk Sahak untuk mencari anaknya Aina di Kuala Lumpur, Pok Ya menyedari ia bukan perkara yang mudah untuk dilakukan. Apatah lagi sepanjang hidup beliau, Pok Ya tidak pernah menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.

Untuk itu, Pok Ya meminta bantuan daripada anak buah dan rakan-rakannya yang menetap di kota raya. Mesej daripada Sabri Yunus dalam telefilem ini amat jelas.

Anak buah Pok Ya di Kuala Lumpur.

Sehebat mana pun seseorang, dia tetap memerlukan orang lain untuk membantu dalam banyak perkara. Jika tidak, ia pasti misi yang sukar untuk Pok Ya menemui Rashdan dan juga Aina di bandaraya Kuala Lumpur yang besar.

Buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak tanah air, kesemua 12 pasukan di Liga Malaysia memiliki lesen pertandingan sekurang-kurangnya untuk bertanding di dalam pertandingan anjuran FAM.

Langkah ini diambil dalam usaha FMLLP sebagai badan penganjur bola sepak negara dan juga FAM sebagai badan bola sepak induk negara menswastakan liga bola sepak negara.

Penswastaan liga ialah satu gerakan yang memberi hak pemilikan bersama kepada FAM dan semua pasukan yang bertanding di dalamnya.

Kredit: FA Selangor

Sebelum itu, setiap pasukan yang bertanding perlu untuk menswastakan pasukan masing-masing iaitu dengan memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan oleh FAM, AFC dan juga FIFA.

Walaupun memiliki lesen pertandingan FAM, hanya segelintir di kalangan 12 pasukan MSL yang memiliki kriteria yang ditetapkan oleh AFC dan juga FIFA.

Pengarah dan Ketua Jurulatih PPBN, Lim Teong Kim. Foto: NFDP Malaysia.

Antara perkara yang harus diberi penekanan ialah seperti untuk memiliki stadium sendiri, program pembangunan akar umbi yang tersusun, dan juga struktur kewangan dan asas perniagaan untuk menjana penadapatan sendiri.

Harmoni dan kompetitif

Berdasarkan previu telefilem ‘Pok Ya Cong Codei’ yang disiarkan melalui artikel terbitan Astro Awani, Sabri Yunos memegang watak sebagai Pok Ya yang berpewatakan ‘gedebe’.

‘Gedebe’ bukanlah watak samseng atau gengster seperti yang sering disalahertikan oleh masyarakat luar. Namun demikian, Pok Ya mempunyai aura beliau tersendiri sehingga dihormati oleh kawan dan lawan. Apa yang kita boleh pelajari?

Masalah kekacauan di kalangan penyokong adalah antara perkara yang lapuk dan basi untuk ditekankan. Namun demikian, penulis tergerak hati untuk mengingatkan semua pihak demi kelancaran Liga Malaysia 2018.

Isu kekacauan dan provokasi sering berlaku pada saban musim. Kejadian di Ipoh dan Kota Bharu pada tahun lalu harus diambil iktibar.

Bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak. Tetapi provokasi melampau sehingga mencetuskan pergaduhan serta perbalahan hendaklah dijauhkan, kerana ia jelas membuang masa.

Dalam hal sebegini, amat mudah untuk kita menuding jari kepada penyokong semata-mata. Namun demikian, aspek keharmonian di dalam saingan liga sebenarnya adalah tanggungjawab semua pihak termasuk pengurusan tertinggi pasukan-pasukan yang bertanding untuk mendidik penyokong.

Gurau senda itu biasa. Itu adalah lumrah di dalam bola sepak di mana-mana sekalipun di dunia.

Tidak guna kita menekankan isu kepentingan pendidikan, jika perkara asas seperti nilai hormat-menghormati hilang daripada acuan bangsa kita Malaysia yang selama ini terkenal dengan adab dan budi pekerti.

Dunia hari ini diibaratkan seperti dunia tanpa sempadan. Media sosial turut menjadi medan menyalurkan informasi kepada penyokong dan peminat bola sepak.

Namun demikian, ia harus digunakan sebaiknya dengan penuh etika dan tanggungjawab. Bola sepak sepatutnya dijadikan wadah penyatuan di kalangan rakyat Malaysia. Jauh sekali sebagai medan untuk menghasilkan permusuhan.

Pengaruh dan platform yang dimiliki seharusnya digunakan untuk menyebarkan semangat kesukanan dan menjauhkan diri dari sebarang provokasi.

Suasana harmoni dan persaingan yang kekal kompetitif di atas padang tanpa provokasi murahan boleh kita wujudkan sama-sama.

Sebagaimana pengajaran yang boleh kita pelajari daripada telefilem Pok Ya Cong Codei: biar ‘gedebe’ tapi beradab. Ke kandang mana pun dituju, semua pun tabik.

Prinsip dan mentaliti penyokong

Telefilem Pok Ya Cong Codei juga membuktikan watak utama tidak semestinya perlu diserahkan kepada pelakon muda cantik dan kacak semata-mata.

Malah dua pelakon yang mempunyai wajah seperti jelitawan Uqasha Senrose yang memegang watak Aina dan pelakon segak, Fikri Ibrahim tenggelam dek penangan Pok Ya Cong Codei.

Ini bermakna tanpa mengira siapa pun anda, baik sebagai jurulatih, pemain, pegawai media, kitman pasukan, mahu pun penyokong, anda mempunyai peranan penting dalam menentukan hala tuju bola sepak negara.

Baru-baru ini setiap pasukan bertanding berebut-rebut untuk melancarkan jersi pasukan masing-masing untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2018. Di sinilah peranan penyokong memainkan peranan penting.

Semua sedia maklum, jersi pasukan adalah salah satu aspek penting bagi menyerlahkan identiti sesebuah pasukan. Namun demikian, apalah ertinya kita menyerlahkan identiti pasukan dengan memperagakan jersi cetak rompak atau palsu?

Pada hari pertama penjualan selepas dilancarkan, JDT berjaya mengutip sebanyak RM1.2 juta hasil penjualan jersi musim 2018.

Jersi Kelantan turut dilaporan hangat di pasaran pada hari pertama pelancarannya, dengan stok di Lembah Klang turut dikatakan habis dijual.

Ini menunjukkan kesedaran di kalangan penyokong bola sepak tanah air semakin meningkat kerana sedar hasil penjualan jersi turut akan menyumbang kepada pendapatan pasukan kesayangan masing-masing.

Pilihan untuk anda sangat jelas. Ia antara anda membeli satu set jersi, dan menyumbang keuntungan kepada lanun cetak rompak, atau anda membeli jersi asli dengan harga sedikit mahal, dan menyumbangkan pendapatan kepada pasukan kesayangan anda.

Seperti watak Pok Ya, anda harus mempunyai prinsip dan komitmen untuk membantu pasukan walaupun sekadar sebagai penyokong.

Rata-rata pasukan yang melancarkan jersi masing-masing, turut menjual jersi alternatif versi penyokong dengan harga sekitar RM60 sehingga RM80. Apa lagi alasan penyokong untuk tidak membeli jersi asli?

Sayang bola sepak Malaysia

Antara perkara yang menarik perhatian penulis ketika menonton telefilem Pok Ya Cong Codei, ialah bagaimana watak garang dengan misai dan tatu harimau di dada oleh Sabri Yunus menunjukkan sikap tanggungjawab dan kasih sayang terhadap isterinya.

Babak di mana Pak Ya sanggup membiarkan Datuk Sahak menunggu lama di luar rumah sebelum bertolak ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menghabiskan nasi kerabu air tangan isterinya, amat menyentuh hati.

Beliau turut berusaha untuk menyelesaikan tugasnya di Kuala Lumpur secepat mungkin, semata-mata untuk kembali ke kampung untuk berdampingan dengan isterinya.

Sedar atau tidak sedar, adakalanya kita mengabaikan bola sepak kita. Tumpuan kita lebih kepada bola sepak luar negara dengan deretan liga bola sepak luar terutama daripada eropah.

Anda mungkin mempunyai alasan anda tersendiri untuk betindak sedemikian. Deretan pemain ternama berkelas dunia, corak permainan menghiburkan, atau pun kerana perwatakan pemain ibarat selebriti.

Tetapi siapa lagi yang akan tampil memberikan sokongan kepada bola sepak tempatan jika bukan kita?

Tidak salah untuk kita mengikuti perkembangan semasa bola sepak luar negara. Namun pada masa yang sama, usahlah kita sehingga mengabaikan bola sepak tempatan.

Coretan saudara Nasron Yasin yang juga merupakan penulis ‘Murtad Liverpool’ pernah mengingatkan penulis mengenai perkara ini dalam satu coretan:

“Bola sepak kita wajah kita. Jika Manchester United, maka Beckham-lah kita!”.

Motivasi

Setiap manusia membuat perkara itu perlu ada motivasi. Pok Ya menjadikan isteri mudanya di rumah yang menunggunya sebagai motivasi untuk selesaikan misi.

Beliau sangat teliti dalam isu kerja supaya tidak carca merba dan disiapkan pada masa yang ditetapkan. Itu yang dilakukan pengurusan kelab kita musi lalu dalam usaha mendapatkan lesen.

Motivasi itu adalah untuk menjadi kelab yang menepati piawaian. Pada masa yang sama, di atas padang pastinya motivasi pasukan mahu menang piala.

Dari sudut misi peribadi setiap pemain ataupun jurulatih ada misi peribadi mereka yang menjadi motivasi mereka ketika bekerja.

Hilang orang disayang

Dalam bola sepak kita boleh hilang pemain yang kita sayang atas pelbagai alasan. Pok Ya pun hilang orang yang dia sayang.

Namun, daripada memujuk pemain yang sudah tiada hati untuk bermain dengan pasukan kita, adalah lebih baik mencari pemain baru. Betul tidak?

https://www.youtube.com/watch?v=UTRnVV1FgCU

Sebutan nama

Ini kami selitkan juga. Dalam bola sepak kita akan mudah melabel nama pemain yang kita sayang dengan sesuatu yang meningatkan kita.

Daripada gelaran Messi Terengganu sehinggalah Neymar Kedah, banyak lagi nama yang kita letak. Sama ada ia kerana pemain itu sendiri ataupun sebaliknya.

Alex, Mat Yo, Kecik, dan sebagainya. Ada juga nama yang sukar kita sebut. Termasuk Liridon Krasniqi yang sebenarnya Kras-ni-chi. Ada yang memudahkannya dengan Mat Don.

Banyak lagi nama lain terutama pemain import yang kita sukar nak sebut tetapi kita ada alternatif. Anda kongsikan dengan kami di ruangan komen.

Itulah yang berlaku kepada Pok Ya yang menyebut hotel Concorde sebagai Congcode kerana dia menggunakan frasa ejaan Melayu. Terus nama itu diberikan anak buahnya kepadanya.

Rumusan

Ada lebih banyak pengajaran yang kita boleh perolehi daripada telefilem garapan Sabri Yunus ini sebenarnya untuk bola sepak kita.

Telefilem Pok Ya Cong Codei sebenarnya ialah sebuah telefilem santai, namun mempunyai plot realiti kehidupan yang memberi pengajaran kepada kita dalam pelbagai cara.

Melalui telefilem tersebut, Pok Ya mempunyai falsafah kehidupan yang memberi intipati secara tidak langsung kepada wajah bola sepak di dalam negara.

Menjelang sepak mula Liga Malaysia 2018, ayuh kita bersama-sama tampil memainkan peranan memeriahkan dan membina bola sepak kita.

Jadilah seperti Pok Ya. Biar gedebe, asalkan molek serba-serbi.

 

Nota editor: Semua gambar daripada telefilem Pok Ya Cong Codei dikreditkan kepada ASTRO.

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN