Falsafah ‘Mastermind’ Park H.S, Pentingkan Pemahaman Taktikal Dan Persediaan Sistematik

Kejayaan Vietnam B-23 bukanlah satu kebetulan atau nasib semata-mata. Meluangkan masa seminggu untuk menganalisis pasukan Vietnam ini sehingga berjaya mara ke final Piala AFC B-23 membuatkan saya teruja untuk membuat perkongsian dengan pembaca semuanyaBOLA.

Mereka tewas dalam perlawanan pembukaan di tangan Korea Selatan. Namun pada aksi kedua menentang Australia mereka menang.

Taktikal

Vietnam memiliki kefahaman taktikal yang sangat jelas.  Mereka dikendalikan oleh Park Hang Seo yang dipanggil Cikgu Park di kem Vietnam.

Fokus dalam analisis kali ini adalah perlawanan menentang Australia kerana ini antara perlawanan yang jelas menunjukkan falsafah permainan mereka dan mudah untuk kita fahami.

Dalam perlawanan selepas itu, mereka boleh dikatakan mengekalkan DNA yang sama dan menekankan beberapa aspek kelemahan dan kekuatan lawan sebagai tugasan ekstra kepada pemain.

Dalam perlawanan menentang Australia, Vietnam bermain dengan sistem 5-4-1 yang agak defensif. Namun ianya dilakukan dengan disiplin yang sangat tinggi.

Sistem mereka tidak menekan lawan di garisan tinggi dan membenarkan Australia untuk memegang bola selama mana mereka mahukan di zon tengah ataupun di zon mereka sendiri.

Namun apabila masuk ke kawasan pertahan Vietnam ataupun final third oleh Australia. Akan berlaku satu sistem jelas, pemain pertama akan keluar menekan pemain lawan dengan agresif.

Ketika rakan keluar menekan pemain lawan, ruang di belakang akan terus diisi secepat mungkin oleh pemain lain. Jadi si penekan (pressurer) tadi akan terus merantai pemain yang dia tekan. Lihat penjelasan di bawah.


Dalam gambar di atas anda fokus kepada gerakan pemain no.8 Australia yang mahu memanipulasi ruang di belakang yang ditinggalkan pemain yang saya tandakan A.

Apa yang berlaku, mereka terus memberikan perhatian kepada sebarang gerakan tanpa bola dengan sangat peka dalam keadaan bersedia.

Lihat body position mereka, kaki sentiasa berjengket, memudahkan mereka untuk menekan ke depan ataupun berlari ke belakang. Beberapa potensi opsyen penerima bola terus diberikan pengawasan awal.

Aspek posisi badan itu sangat penting. Saya sertakan 2 contoh gambar di bawah apabila pemain pertahanan dalam keadaan body positioning terbaik untuk bertahan sama ada di garis tinggi atau rendah.

Anda lihat kedudukan badan mereka, sentiasa bersedia untuk berlari ke belakang dan menekan lawan ke depan. Asas ini sebenarnya semua pemain profesional tahu, namun bila dalam padang, ramai yang malas untuk buat. On the toes setiap masa.

Secara asasnya mereka memang berkonsepkan zonal marking orientasi bola. Mereka bertahan berdasarkan gerakan bola pihak lawan.

Di bawah ini anda akan lihat walaupun mereka defensif tetapi mereka tidak mengenakan man marking khas kepada pemain lawan. Mereka bertahan secara zonal dan fokus kepada bola. Ini penjelasan.

Sekali lagi, pemain daripada garisan bawah akan memilih momen sesuai untuk keluar menekan potensi penerima bola.

Sekali pemain Australia cuba menggunakan ruang kosong itu tetapi pertahanan Vietnam terus menutupnya.

Anda fokus kepada pemain yang keluar menekan tadi, anda dapati dia hanya mengenakan tekanan tanpa perlu melakukan foul atau terdesak untuk memenangi bola segera. Tugas beliau selesai apabila pemain itu berjaya ‘dihalau’ daripada zon yang beliau mahu pertahankan.

Anda tentu selalu melihat pemain yang tak sabar dalam bertahan terus menerjah bukan? Ok lihat, selepas tugas selesai dia akan kembali terus ke zon dia semula. Job done!

 

Mereka bertahan sama ada dalam 5-4-1 flat ataupun 5-2-2-1 seperti contoh di bawah ini. Elemen asas bertahan mereka kekalkan iaitu kompak, kekal dalam organisasi, sentiasa bersedia.

Dan lihat kedudukan badan mereka sekali lagi, anda dapati mereka masih terus kekal dalam posisi badan yang mudah untuk menekan ke hadapan ataupun berlari ke belakang.

Disiplin bertahan ini mereka kekalkan untuk 90 minit. Megelak daripada bertahan terlalu ke bawah untuk mengelak percubaan jarak jauh dan juga pertarungan di udara untuk hantaran silang pasukan lawan.

Mereka tampil sebagai pasukan bukan pilihan dalam setiap perlawanan jadi, fokus mereka jelas. Pemain mereka berpegang kepada prinsip permainan yang jelas dalam setiap perlawanan ditambah dengan disiplin berpasukan.

Kemampuan menjaringkan gol

Jika anda hanya bermain bertahan, ia tidak akan memberikan anda kemenangan. Jadi, Vietnam memiliki ketajaman di hadapan gol.

Mereka memiliki peluang gol yang terhad tetapi mereka akan menyudahkannya dengan sebaik mungkin. Selepas menjaringkan gol mereka akan mempertahankannya sebaik mungkin.

Anda bayangkan, mereka hanya menjaringkan 2 gol di peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kalah mati.

Park Hang Seo si ‘mastermind’

Ketika mereka menang ke atas Iraq (seri 3-3, Vietnam menang penalti 5-3), mereka telah melakukan scouting yang sangat rapi ke atas lawan mereka. Dipetik daripada laman Steemit.com:

Park Hang Seo mengejutkan semua dengan kemenangan ke atas Australia. Vietnam berjaya mengikat Syria untuk mara ke suku akhir. Ini pertama kali pasukan Vietnam mara ke kalah mati menjadi 8 teratas di Asia peringkat B-23.

Ketika persiapan menentang Syria, Cikgu Park Hang Seo telah meramalkan lawan mereka di kalah mati adalah Iraq. Walaupun ketika itu Vietnam masih belum pasti layak.”

Secara asasnya, jika mereka layak, mereka akan menentang Iraq. Jadi, buat persediaan awal terlebih dahulu. Jika gagal layak itu tak mengapa. Jika layak, mereka sudah ada persediaan awal.

Untuk peringkat kumpulan sudah pastinya analisis data lawan mereka sudah disiapkan awal sekali.

Berdasarkan sikap Park Hang Seong, ianya mungkin sudah dilakukan sebaik sahaja undian kumpulan dahulu dan pemain disuapkan dengan segala maklumat yang perlu tentang lawan mereka sebelum ke China.

Beliau sudah mula merancang untuk perlawanan menentang Iraq dan mulai mengumpul data tentang pasukan Iraq B-23. Beliau telah menghantar staf pasukan beliau untuk membantu memantau (scouting) mendapatkan data pasukan Iraq.

Park Hang Seo telah menggunakan khidmat pemantau terbaik di Vietnam dalam pasukan beliau kali ini dan mereka telah mengintip corak latihan Iraq. Anda pasti terkejut, 2 orang yang beliau lantik itu adalah ‘bos’ beliau sendiri.

‘Head’ pasukan Vietnam, Duong Vu Lam dan Pengarah Teknikal Pasukan, Jurgen (gambar)telah pergi merakamkan latihan Iraq. Mereka telah menganalisis sedalamnya tentang kekuatan pasukan lawan. Buang ego, ini demi negara, bos turun padang pun tak apa untuk jadi ‘staf’ Park Hang Seo kali ini.

Lam dalam laporan analisis beliau menyimpulkan, pasukan Iraq lebih berusia daripada purata umur pemain Vietnam. Jadi mereka lebih matang dalam perlawawnan.

Cabaran Vietnam adalah membentuk skuad yang boleh menyerap tekanan berhadapan dengan lawan yang lebih matang dan berpengalaman.

Segala aspek tekanan psikologi di dalam padang sudah diberitahu kepada pemain. Park Hang Seo mendapati pasukan Iraq sebagai pasukan yang ‘kaya’ dengan segalanya di dalam padang.

Mereka juga mendapati statistik 3 perlawanan pertama, Iraq melakukan 1,116 hantaran tepat dengan kadar 64%. 10 percubaan tepat, 5 gol dihasilkan. Iraq ada 4 jenis fasa utama dalam permainan mereka.

Semua maklumat ini dan banyak lagi telah dikumpul oleh Park Hang Seo dan mereka terus melakukan ‘brainstorming’ untuk mencari formula menang ke atas Iraq.

Park Hang Seo seorang jurulatih yang bukan sahaja memberikan arahan, malah dia akan cuba menunjukkan demonstrasi kepada pemain-pemain beliau.

Vietnam berjaya melakukannya. Dan perkara yang sama mereka lakukan untuk Qatar. Final mereka akan berhadapan dengan Uzbezkistan. Itu adalah halangan terakhir mereka.

Menang atau tewas di final, mereka sudah diraikan oleh rakyat dan pemimpin mereka. Presiden Vietnam sudah mengeluarkan kenyataan rasmi menggalakkan organisasi untuk memberikan cuti kepada pekerja mereka sempena final pada 27 Januari ini.

Rumusan

Park Hang Seo telah melakukan tugas beliau dengan sangat baik. Jurulatih yang berpengalaman  luas ini juga merupakan ketua jurulatih skuad senior kebangsaan Vietnam.

Beliau sebelum ini mencabar dirinya untuk membawa Vietnam ke rangking 100 teratas dalam ranking FIFA. Pernah membantu skuad B-23 Korea Selatan menang pingat gangsa dalam Sukan Asia 2002.

Beliau seorang yang sangat teliti di dalam kerjanya. Mencari taktik yang sesuai dan cuba mencari dan membekalkan seberapa banyak maklumat kepada pemain seawal yang mungkin.

Jadi, pemain sudah tahu apa yang mereka akan lakukan pada 3 perlawanan peringkat kumpulan sebelum mereka tiba di China.

Di peringkat kalah mati, Cikgu Park Hang Seo sentiasa cuba membekalkan pemain beliau dengan maklumat seberapa banyak yang mereka mampu.

Ia juga dibantu dengan data statistik yang bukan satu teori semata-mata. Ia angka statistik yang tersurat.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN