Pengendali Kedah Darul Aman (Kedah), Nafuzi Zain dilaporkan bakal membuat sedikit rombakan dalam kalangan pemain untuk aksi Liga Super seterusnya Jumaat ini menentang cabaran Kelantan Darul Naim (KDN).
Terdahulu, Sang Kenari boleh dianggap berada dalam momentum cukup baik untuk meraih keputusan positif seterusnya selepas tidak mencipta sebarang kekalahan sejak empat perlawanan lalu.
Malah, impak positif daripada sentuhan Nafuzi Zain juga menyaksikan Kedah kini berjaya melangkah ke pentas separuh akhir Piala FA selepas mereka mengetepikan cabaran Penang.
Pastinya kini Nafuzi tampil lebih bersemangat untuk memastikan prestasi semasa Kedah mampu dikekalkan pada aksi seterusnya bertemu KDN, apatah lagi mereka memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
Menurut pengendali berpengalaman itu, kem Kedah kini sedang memberi fokus penuh demi memastikan momentum kemenangan di laman sendiri dapat dipertahankan.
“Kami mahu kekalkan rentak kemenangan di Liga Super yang juga misi penting bagi memastikan tiga mata berharga dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam carta.
“Aksi di laman sendiri kali ini juga bakal memberi peluang terbaik untuk semua pemain dan itu yang kami sedang persiapkan dalam sesi latihan dalaman termasuk bersama KDA FC B di mana pemain sedang membina kembali kecergasan.
“Faktor kecergasan memainkan peranan penting bagi memastikan kami kembali bersedia berada di tahap terbaik,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Nafuzi juga enggan mengambil mudah cabaran bakal diberi oleh KDN walaupun Sang Kenari berkelebihan di laman sendiri pada Jumaat ini.
Malah, Nafuzi sendiri menyatakan beberapa rombakan mungkin perlu dibuat kerana ada beberapa pemain mengalami kecederaan serta kurang cerga untuk dibawa turun.
“Ada dua ke tiga pemain yang mungkin keletihan dan mengalami sedikit kecederaan dan saya jangka akan melakukan sedikit perubahan.
“Meskipun KDN FC tidak berada dalam kelompok pasukan atasan dalam Liga Super, tetapi mereka mampu menggugat dan memberi ancaman,” katanya akhir sekali.
Untuk Jumaat ini, dijangka bintang Harimau Malaya iaitu Syafiq Ahmad bersama rakan sepasukan lain bakal memainkan peranan penting demi memberi kejayaan terbaik buat para penyokong Kedah.