Teka-teki berhubung barisan kabinet kerajaan Malaysia pasca peralihan kuasa telah pun terjawab selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Muhammad Yassin membuat pengumuman berhubung perkara tersebut di Putrajaya, petang tadi.
Portfolio Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga kini sudah mempunyai ‘bos’ baharu apabila Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah dilantik bagi menjawat jawatan tersebut.
Reezal yang berusia 48 tahun akan dibantu oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai timbalannya. Mungkin ada yang sudah mengetahui, Wan Ahmad Fayhsal adalah abang kepada pemain bola sepak sensasi yang menetap di Amerika Syarikat, Wan Kuzain.
1) Bekas Timbalan Menteri Luar Negeri
Pelantikan ini boleh dikatakan sebagai ‘comeback’ buat anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang ini kerana beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri pada 28 Julai 2015.
2) Peminat setia Tottenham Hotspur
Dengan status bola sepak sebagai sukan nombor satu di Malaysia dan dunia khususnya, Datuk Seri Reezal turut tidak terkecuali menunjukkan minatnya dalam sukan ini.
Dapat dilihat beliau adalah peminat pasukan tangga kelapan Liga Perdana Inggeris pada ketika ini, Tottenham Hotspur. Foto di bawah pasti dapat merungkai segalanya berkenaan perkara tersebut.
3) Peminat Brazil di Piala Dunia
Bagi pasukan antarabangsa pula, Datuk Reezal memilih juara dunia lima kali, Brazil sebagai pasukan kegemarannya dan secara terang-terangan menyatakan beliau ‘membenci’ Jerman.
4) Peminat Pulau Pinang dan Harimau Malaya
Andai ditinjau ciapan daripada beliau di laman Twitter peribadinya pada satu ketika, banyak juga berkongsikan mengenai keputusan perlawanan yang melibatkan skuad kebangsaan.
Turut kelihatan juga beliau menyeru kepada semua supaya menyokong pasukan dalam Liga Super.
5) Mengambil berat perkembangan NFDP
Minat yang mendalam beliau dalam bola sepak turut membuatkannya mengambil berat dalam usaha penghasilan bakat muda untuk masa depan bola sepak negara.
Menurut laporan Astro Awani pada 27 Mac 2015, Reezal pernah mengeluarkan kenyataan berhubung kewujudan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Sehubungan dengan itu, beliau mengharapkan produk keluaran daripada program tersebut dapat setanding dengan pemain di Liga Perdana Inggeris sekiranya pelan dirangka mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Dikhabarkan juga beliau mengambil begitu berat terhadap pelatih Pusat Latihan Daerah (PLD) di Pulau Pinang.
6) Bekas Presiden GPMS
Dalam pada itu, Datuk Seri Reezal Merican juga pernah aktif di peringkat belia selepas memegang jawatan selaku presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung bermula 2006 hingga 2009.
7) Mewarisi kerusi ditinggalkan Tun Abdullah Ahmad Badawi
Parlimen Kepala Batas merupakan kubu kuat buat Barisan Nasional apabila bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mendominasi kerusi tersebut sejak 1978 sehingga 2013.
Datuk Seri Reezal kemudiannya menyambung ‘legasi’ tersebut dan sudah dua penggal menjadi pilihan rakyat di kawasan itu.
Kredit featured images: Facebook Datuk Seri Reezal Merican