Baru-baru ini ketua jurulatih Kelantan, Fajr Ibrahim dilaporkan menghilangkan diri apabila kelibat beliau tidak kelihatan bersama pasukan di tempat penginapan di Perlis.
Jurulatih kelahiran Syria itu sepatutnya berada bersama pasukan bagi menjalani latihan menjelang pertemuan Liga Super menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.
Walaubagaimanapun, menurut laporan daripada Mstar Online, misteri kehilangan beliau terjawab apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan telah menerima satu mesej whatsapp daripada Fajr Ibrahim.
Mesej itu mengandungi surat yang memaklumkan hasrat Fajr untuk meletak jawatan sebagai pengendali pasukan itu. Dalam surat itu, Fajer turut mendedahkan punca beliau mahu meninggalkan Kelantan.
“Susulan tugas yang sukar dan kekurangan kemudahan untuk latihan, saya ingin meletak jawatan.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Kelantan,” katanya dalam surat tersebut.
Bibi Ramjani mengesahkan telah meneri mesej itu dan mengumumkan Yusri Che Lah sebagai pengendali sementara.
“Dia hantar surat itu menerusi WhatsApp pagi ini. Kita sudah kesuntukan masa. Jadi segala tugas Fajer akan diambil alih Yusri Che Lah,” katanya kepada Mstar Online.
Ini bukan kali pertama Fajr Ibrahim luahkan hasrat untuk meletak jawatan. Sebelum ini, jurulatih itu dilaporkan letak jawatan selepas 3 perlawanan liga super dimana beliau gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam tempoh tersebut.
Namun begitu, beliau membuat pusingan U setelah bertemu dan berbincang dengan Bibi Ramjani Illias Khan pada pagi Jumaat. Fajr Ibrahim menganggap semua isu sudah diselesaikan dan bersedia untuk kembali ke padang latihan.
Beliau juga berjanji akan terus cuba membantu Bibi Ramjani dalam bola sepak Kelantan. Seterusnya misi beliau kini adalah menamatkan kemarau kemenangan pasukan Kelantan.
Ramai juga penyokong Kelantan risau dengan perletakan jawatan ini akan memberikan impak kepada kem pasukan Kelantan. Ini kerana, Kelantan terlalu kerap bertukar jurulatih. Lagipun kesepekatan di antara Fajr dan KAFA sebelum ini sudah dicapai.
Kelantan kini menghuni kedudukan terbawah Liga Super selepas 13 perlawanan dan masih bergelut dengan zon penyingkiran.