Faizal Azumu Hargai Hasrat TMJ, Belum Ada Keputusan Jenis Rumput

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi penghargaan atas usaha Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu memberi tajaan kos penanaman rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini bagi menaik taraf stadium tersebut supaya lebih sesuai digunakan pada peringkat lebih tinggi.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor, @HRHJohorII atas kurniaan penajaan penanaman rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil,” menurut ciapan di Twitternya.

TMJ menerusi kenyataan pada Khamis lalu memberi kenyataan di laman rasmi Facebook Johor Southern Tiger bertitah mahu memberi tanggungan sepenuhnya kos pertukaran rumput jenis ‘Cow Grass’ yang sebelum ini digunakan oleh stadium tersebut kepada jenis ‘Zeon Zoysia’ yang turut sama digunakan di Stadium Sultan Ibrahim serta di Stadium Bishan, Singapura sewaktu aksi Piala AFF tahun lalu sebagai hadiah kepada skuad Harimau Malaya.

“Saya telah mengarahkan pengurusan JDT untuk membantu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), bagi memastikan Stadium Nasional, mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa,” titah baginda.

Tidak lama selepas itu, laman rasmi tersebut juga telah mengemas kini mengenai Tunku Ismail telah pun menandatangani satu cek rasmi untuk segala kerja pertukaran padang itu dan pemeriksaan di stadium utama skuad kebangsaan ini bakal dilakukan pads 19 Mac, sebelum bentuk persiapan akhir  dengan PSM.

Pada bulan Mac tahun lalu, jangkaan RM10 juta diperlukan bagi kerja-kerja menggantikan rumput baharu serta merangkumi penyelengaraan padang, sistem pengudaraan, sistem saliran, pencahayaan buatan serta latihan kepada penyelia rumput.

Walaupun kerajaan telah meluluskan bajet, sehingga kini projek tersebut masih belum berjalan dan stadium tersebut masih digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang bermula pada 21 Jun lepas.

Dalam masa sama, sehingga kini masih belum ada apa-apa hitam putih antara kementerian itu dan TMJ sehingga tengah hari semalam menurut sumber daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Selain itu, PSM juga dilaporkan masih belum membuat keputusan mengenai jenis rumput yang bakal digunakan mereka untuk SNBJ dan masih menunggu sebuah universiti tempatan memberi laporan mengenai jenis rumput paling baik untuk stadium tersebut.

“Badan Lembaga PSM akan membuat keputusan mengenai jenis rumput paling sesuai berdasarkan kepada bukti saintifik didapati daripada pakar runding. PSM dan KBS tidak mahu membuat keputusan terburu-buru, tetapi berdasarkan kepada laporan saintifik bagi mengelakkan berlakunya isu berkaitan rumput di stadium tersebut.

“Terdapat pandangan berbeza berkaitan ‘Cow Grass’, ada yang suka dan ada yang tidak. Kami juga perlu melihat kepada pelbagai aspek, termasuklah tujuan penggunaan stadium, jika ia terhad kepada bola sepak, ia akan memberi kesan kepada pendapatan PSM,” kata sumber itu menerusi kenyataan Bernama.

Skuad kebangsaan yang kini di bawah kendalian jurulatih Kim Pan-gon bakal memulakan latihan pada 14 Mac ini selama lapan hari bagi menghadapi siri perlawanan persahabatan di Singapura bersama tuan rumah serta Filipina.

Di samping itu, skuad Harimau Malaya juga bakal membuat penampilan dalam aksi kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di stadium Nasional Bukit Jalil untuk bertemu skuad Turkmenistan yang berada di ranking 134 dunia serta diikuti Bahrain (89), dan Bangladesh (186).

Sumber:
BERNAMA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN