Peningkatan prestasi pemain sayap kiri, Hakimi Abdullah pastinya telah membayangi Faisal Halim dan menjadikannya sebagai ‘anak emas’ pengendali, Nafuzi Zain.
Sebelum kemunculannya, Faisal Halim boleh dikatakan pemain paling berbakat besar yang dimiliki Terengganu FC, namun dengan memiliki ramai pemain muda berbakat, beliau perlu bersedia pada bila-bila masa untuk dipintas mana-mana pemain.
Hakimi Abdullah yang berusia 21 tahun mula tampil dalam kesebelasan utama pada aksi ketiga Liga Super, ketika terikat 1-1 berdepan Melaka United. Begitupun, selepas itu, beliau kembali ke bangku simpanan untuk tiga aksi, sebelum berdepan Kedah.
Dan bermula daripada kemenangan 2-1 ke atas Kedah pada April, Hakimi Abdullah sudah tidak menoleh ke belakang. Beliau sudah mula berada dalam pilihan utama pasukan untuk berdepan lawan dan sudah berhasil meledak empat gol peribadi.
Ledakan gol Hakimi Abdulllah. TFC vs JDT. @FCTerengganu@OfficialJohor pic.twitter.com/fcBY06z3HO
— Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (@DrAhmadSamsuri) April 25, 2021
Paling indah tentunya gol yang membantu Terengganu menumbangkan UiTM FC dan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada April lalu. Golnya ketika berdepan JDT, juara liga tujuh kali itu tentunya yang akan paling diingatinya sepanjang kariernya.
Ia bukan sahaja jaringan kemenangan buat Terengganu, namun turut menghadiahkan JDT kekalahan pertama musim ini, selain pertama di Stadium Sultan Ibrahim.
Hakimi Abdullah mula menjadi sebutan dikalangan penyokong, tak kira Terengganu mahupun lawan. Malah, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe turut dikritik kerana mengabaikan namanya dalam senarai pemain skuad kebangsaan.
Sedangkan Faisal Halim juga sebenarnya mempamerkan prestasi yang baik. Cuma impak Hakimi Abdullah dalam aksi berdepan JDT membantu melonjak namanya berbanding Faisal Halim yang juga boleh dikatakan harus sebaris dengannya.
Sepakan leret daripada luar kotak penalti Faisal Halim menghadiahkan gol kedua buat @FCTerengganu malam ini. https://t.co/5RjM2pYVGD pic.twitter.com/CdshDViPrW
— Balrz.tv (@balrztv) July 16, 2021
Berusia 23 tahun, Faisal Halim sudah memberikan yang terbaik di sayap kanan mereka. Jadi, persaingan antara mereka berdua bukanlah melibatkan posisi.
Beliau tampil dalam semua perlawanan Terengganu dengan merekodkan 956 minit permainan dan meledak dua gol. Nafuzi Zain dilihat banyak menggunakan kepantasan jentera sayapnya dalam usaha untuk merobek kawasan defensive third lawan.
Jadi, Faisal Halim dan Hakimi Abdullah miliki peranan penting buat pasukan di sayap kiri dan kanan. Dalam tiga aksi pemanas badan, kedua-dua pemain mempamerkan aksi yang positif serta masing-masing mencatatkan nama selaku penjaring.
Faisal Halim paling menjadi dengan dua gol peribadi. Kedua-duanya bakal menjadi kunci penting Nafuzi Zain dalam usaha untuk membuka pintu kubu pertahanan lawan. Kelincahan dan kelicikkan permainan mereka bakal membantu Terengganu.
Dengan saingan liga bakal kembali pada hujung minggu ini, adakah Faisal Halim sudah bersedia untuk bersaing dengan Hakimi Abdullah untuk menjadi ‘anak emas’ Nafuzi Zain, selain menjadi ‘buah hati’ kepada para penyokong Sang Penyu?
Baca lagi artikel mengenai Terengganu FC:
5 Fakta Menarik Mengenai Hakimi Abdullah Perlu Anda Tahu Selepas Bocori Gawang JDT
Biarpun Lee Tuck Kembali, Mata Tertumpu Kombinasi Dechi Marcel-Habib Haroon
[VIDEO]: TMJ Lawat Bilik Persalinan Terengganu FC, Ucap Tahniah Tumbangkan JDT