Quantcast
Brunei Idam Curi Satu Mata Berdepan Malaysia - Faiq Jefri Bolkiah


BERITA

Brunei Idam Curi Satu Mata Berdepan Malaysia - Faiq Jefri Bolkiah

Sunday, 13 Aug 2017

Kapten skuad B-23 Brunei, Faiq Jefri Bolkiah yakin pasukannya mampu mengejutkan Malaysia atau sekurang-kurangnya meraih satu mata menjelang aksi pertama di Stadium Shah Alam dalam aksi Sukan SEA 2017, Isnin ini. Brunei telah diundi bersama Malaysia, Myanmar, Singapura dan Laos di dalam Kumpulan A.

“Sasaran kami adalah untuk layak (ke separuh akhir) terlebih dahulu. Untuk itu, kami perlu kental bertahan dan meraih mata dalam setiap perlawanan. Itu adalah penanda aras yang telah saya letakkan kepada rakan-rakan saya,” tegas penyerang berusia 19 tahun itu sejurus pasukan Brunei tiba di Malaysia, semalam.

“Saya rasa kami berpeluang untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata menentang Malaysia. Saya pernah beraksi menentang mereka tahun lalu. Malaysia adalah pasukan yang bagus, tetapi saya yakin kami mampu meraih satu mata jika kami kekal fokus dalam perlawanan. Kami akan beri yang terbaik kali ini,” tambah Faiq lagi kepada The Star.

Ini merupakan Sukan SEA kedua buat Faiq selepas membuat penampilan sulung di Singapura, dua tahun lalu. Beliau menyatakan kekuatan Brunei pada edisi kali ini adalah di jentera serangan yang akan digerakkan olehnya dan beliau akan berusaha untuk memecahkan benteng lawan sekiranya berpeluang. Di Singapura, Faiq menyumbang satu gol buat Brunei.

Kredit Foto: Chelsea FC/Press Associaton Images

Faiq sudah setahun bersama skuad simpanan dan remaja Leicester City FC yang beraksi di Liga Pembangunan Profesional (Professional Development League) di England. Sebelum itu, beliau juga pernah bersama skuad simpanan dan remaja Southampton (2009 – 13), Arsenal (2013-14) dan Chelsea (2014-15).


“Pasukan kami sudah meningkat berbanding dua tahun lalu. Kami telah memulakan latihan untuk Sukan SEA kali ini sejak awal tahun lagi,” ujar Faiq kepada Metro yang turut menyatakan dia dan pasukannya sudah cukup cergas dan bersedia untuk berdepan tuan rumah, Malaysia.

Melihatkan rekod Sukan SEA, Brunei tidak pernah mencatatkan sebarang kemenangan dalam dua edisi berturut-turut iaitu pada 2013 dan 2015. Kemenangan terakhir yang dicatatkan mereka adalah pada edisi 2011 di Jakarta, menewaskan Filipina 2-1 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Sumber Rujukan:

  1. The Star (2017): Brunei Aim To Steal A Point From Malaysia; http://www.thestar.com.my/sport/football/2017/08/13/brunei-aim-to-steal-a-point-from-malaysia/
  2. Ajitpal Singh, Harian Metro: Faiq Senjata Brunei; https://www.hmetro.com.my/arena/2017/08/253001/faiq-senjata-brunei


KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!


Kongsi

Komen Artikel: Brunei Idam Curi Satu Mata Berdepan Malaysia - Faiq Jefri Bolkiah



Berita Bola Yang Menarik