Sebut sahaja nama Fadi Awad, rasanya tidak ramai peminat bola sepak di Malaysia begitu mengenali atau mengangkat beliau selaku antara pemain import terbaik pernah beraksi di Malaysia.
Namun, sumbangan serta impak diberikan oleh pemain dari Jordan itu jelas cukup besar dan Fadi sendiri merupakan antara nadi utama kekuatan PDRM sejak musim lalu.
Beraksi di posisi tengah bertahan, kekuatan Fadi telah pun memberi kesukaran buat mana-mana lawan sebenarnya untuk menguasai bola di bahagian tersebut selain menghadapi masalah untuk menembusi benteng kebal kelab tersebut.
PDRM seperti diketahui menjadi antara pasukan yang terkenal akan disiplin pertahanan mereka selain pasukan itu gemar menggunakan kelebihan fizikal pemain untuk mengatasi lawan.
Mereka juga menandatangani pemain import berfizikal kuat musim ini seperti Aremu Timothy, Chidi Emma Osuchukwu, serta penyerang kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun selain mengekalkan Fadi Awad.
Percaturan kelab tersebut yang musim ini berada bawah kendalian P. Maniam dilihat berjaya kerana setiap pasukan lawan dihadapi mengalami kesukaran untuk mengatasi kekuatan fizikal lawan.
Salah seorang pemain memberi sumbangan besar bagi konsistensi kelab tersebut sudah tentu terarah kepada Fadi Awad yang cemerlang selaku antara pemain tengah bertahan terbaik ada di Malaysia.
Persis N’golo Kante, Fadi sentiasa memastikan percaturan lawan di posisi tengah rosak menerusi kerja kotor beliau selain stamina dimiliki beliau juga konsisten sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
Disiplin, bacaan bola yang baik, kekuatan fizikal, serta stamina menjadi aset terbaik beliau untuk terus menjadi tunjang utama kekuatan PDRM yang telah menjadi kelab ‘pengacau’ terbaik kini di Malaysia selain Kuching City.
Kecemerlangan Fadi sejak saingan musim lalu juga menyaksikan pemain ini turut dipanggil mewakili skuad kebangsaan Jordan untuk mengharungi kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar lalu.
Bersama PDRM, pemain berusia 31 tahun ini juga sudah pun mengecapi kejuaraan MFL Challenge Cup pada saingan musim lalu sebagai langkah permulaan terbaik di Malaysia.
Maka, tidak salah untuk Fadi sebenarnya dianggap sebagai pemain paling ‘underrated’ dalam kalangan import di sebalik kecemerlangan beliau buat PDRM.
Konsistensinya itu juga dijangka akan terus menyaksikan nama beliau terus terpilih seterusnya buat Jordan untuk memperkukuhkan posisi tengah serta pertahanan pasukan kebangsaan itu.