Cesc Fabregas mengesahkan kemenangan 1-0 Chelsea ke atas Swansea untuk menghidupkan peluang skuad kendalian Antonio Conte itu untuk mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan ke-4.
Kemenangan oleh Chelsea itu juga menyaksikan Swansea hanya berkelebihan satu mata daripada zon penyingkiran EPL.
Chelsea hanya memerlukan empat minit untuk mendahului di dalam perlawaan ini, dengan jaringan cantik, melencong oleh Fabregas.
Gol tersebut juga merupakan gol ke-50 pemain antarabangsa Sepanyol itu di EPL.
Setelah jaringan awal oleh Fabregas itu, tidak banyak peluang diperolehi oleh kedua-dua pasukan selepas itu. Swansea memperbaiki permainan mereka pada babak kedua perlawanan dan hampir menyamakan kedudukan di dalam perlawanan ini.
Kejayaan Southampton menewaskan Bournemouth dalam perlawanan yang diadakan lebih awal meletakkan skuad kendalian Carlos Carvajal hanya berkelebihan satu mata dari zon penyingkiran.
Manakala kemenangan ini merapatkan Chelsea dengan pasukan di kedudukan ke-4, Tottenham Hotspur dengan perbezaan dua mata untuk Chelsea terus memburu tempat ke UEFA Champions League.
Chelsea bermula garang sejak wisel permulaan. Kegagalan Andy King mengawal kemas bola memberikan peluang kepada N’Golo Kante merampas penguasaan, sebelum membebaskan Eden Hazard.
Hazard bijak melepaskan diri dari kawalan Sung-Yeung Ki sebelum membenarkan Fabregas untuk menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan tersebut.
Pasukan pelawat hampir menggandakan kelebihan gol yang mereka miliki pada minit ke-22 perlawanan. Namun demikian, tandukan oleh Olivier Giroud keluar melewati palang gawang yang dikawal oleh Alfie Mawson.
Swansea yang bermain lebih baik pada babak kedua perlawanan hampir menemui gol penyamaan apabila Andre Ayew menanduk hantaran Martin Olsson, namun keadaan berjaya dikawal oleh Antonio Rudiger.
Chelsea turut mempunyai peluang pada babak kedua perlawanan, apabila hantaran ke near post mencari Victor Moses, gagal disempurnakan oleh pemain sayap itu.
50 – Cesc Fabregas has scored his 50th Premier League goal, becoming the third Spanish player to do so in the competition (after Fernando Torres and Diego Costa). Milestone. pic.twitter.com/P3FrLhaW6Y
— OptaJoe (@OptaJoe) April 28, 2018
Gol tunggal oleh Fabregas dalam perlawanan ini menjadikan beliau pemain Sepanyol ketiga menjaringkan 50 gol di EPL setelah Fernando Torres (85 gol) dan Diego Costa (52 gol) yang turut pernah beraksi bersama The Blues.
Fabregas juga merupakan pemain ke-4 yang menjaringkan lebih 50 gol, sambil menghasilkan lebih 100 bantuan gol di EPL, dan merupakan pemain bukan British pertama yang berbuat demikian.
Tiga pemain lain yang berada di hadapan Fabregas untuk rekod tersebut ialah Ryan Giggs, Wayne Rooney dan juga Frank Lampard.