Pengurus Arsenal, Arsene Wenger sudah pun mengumumkan pengunduran dirinya selepas 22 tahun berkhidmat buat The Gunners pada penghujung musim ini.
Bagi Cesc Fabregas yang hampir lapan tahun bersama Wenger dalam skuad Arsenal, pasti mempunyai pelbagai kenangan yang terkesan dalam dirinya sepanjang bersama pengurus berusia 68 tahun itu.
Pencapaian hebat yang dikecapinya di Arsenal membuatkan Fabregas menghamburkan kata pujian dengan mengatakan bahawa Wenger bertanggungjawab dalam mengubah bola sepak Inggeris.
Kejayaan menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris musim 2003/04 tanpa sebarang kekalahan akan terus kekal dalam lipatan sejarah sepanjang zaman buat Arsenal.
Pada musim tersebut, Arsenal mencatatkan 26 kemenangan dan 12 keputusan seri dengan menjaringkan 73 gol dan dibolosi sebanyak 26 jaringan.
Bercakap kepada Sky Sports, Fabregas berkata: ”Dia seorang lelaki dan individu yang istimewa. Penuh dengan kelas, penuh dengan integriti dan saya mengucapkan selamat maju jaya buat dirinya.”
”Bola sepak dan diri saya sendiri akan sangat merindukannya. Ia sangat sedih apabila saya mendengar berita tersebut.”
Arsene Wenger yang bertanggungjawab membawa Fabregas dari Barcelona pada usia muda merasakan bahawa bola sepak Inggeris terhutang budi dengan sosok tubuh yang digelar ‘Le Professeur’ itu.
”Dia telah mengubah bola sepak Inggeris.”
”Saya ingat ketika saya masih kecil, anda menonton mana-mana perlawanan Liga Perdana Inggeris dan anda hanya akan melihat hantaran jauh dan banyak tandukan dan bentesan dilakukan,” jelas pemain kelahiran Sepanyol itu.
”Tetapi apabila anda melihat aksi Manchester United dan Arsenal dan ia seperti menyaksikan sukan lain dan Arsene (Wenger) banyak kaitan dengan perkara tersebut.”
”Falsafahnya adalah sentiasa untuk memainkan bola sepak yang cantik, membawa pemain muda ke peringkat lain membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi dan membuatkan mereka percaya yang mereka mampu mencapainya.”
”Saya boleh menamakan ramai pemain muda yang tidak dikenali dalam dunia, tetapi dia melakukannya. Kemudian mereka menjadi pemain bertaraf dunia dan mereka memenangi segalanya dalam permainan.”