Quantcast

BERITA

Fabio Cannavaro Dilantik Sebagai Jurulatih Baharu Skuad Kebangsaan China

Bekas kapten dan legenda bola sepak Itali, Fabio Cannavaro dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan China, seperti yang diumumkan oleh Persatuan Bolasepak China (CFA) semalam.

Dia mengambil alih tugas tersebut daripada mentor yang juga rakan senegara, Marcello Lippi, jurulatih yang bertanggungjawab membawa Itali muncul juara dunia 2006.

Jurulatih yang berusia 45 tahun itu bagaimanapun tetap meneruskan tugasnya sebagai jurulatih pasukan gergasi Liga Super China (CSL), Guangzhou Evergrande Taobao, sebelum menyertai kem kebangsaan China.

Lippi meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih China selepas pasukan itu tersingkir daripada Piala Asia, Januari lalu, namun kekal sebagai penasihat pasukan itu.

“Pihak persatuan telah membuat keputusan dengan teliti hasil penyelidikan komprehensif terhadap pengalaman, gaya teknikal, taktikal, penyesuaiannya dengan pemain China dan faktor lain,” kata kenyataan CFA.

Bekas pemain Juventus itu kembali menyertai Evergrande pada 2017 selepas dipecat dua tahun sebelumnya, telah meraih dua kemenangan daripada dua perlawanan pertama CSL musim ini.

Cannavaro akan berdepan tugasan pertamanya dengan menentang Thailand dalam Piala China, Khamis depan. Selepas Thailand, skuad China akan bertemu Uruguay dan Uzbekistan.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!