Pemain tengah baharu Liverpool, Fabinho percaya beliau sudah bersedia untuk membuat penampilan sulungnya dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Pemain kelahiran Sao Paulo itu masih belum menikmati peluang beraksi walaupun Liverpool kini cemerlang mencatatkan rekod kemenangan bersih daripada empat perlawanan.
Pemain yang dibawa masuk dari AS Monaco dengan nilai £44 juta itu beraksi dalam kesemua perlawanan Liverpool pada aksi pra-musim.
”Permulaan saya di sini adalah bagus, dapat menyesuaikan diri dengan baik. Pra-musim juga sangat baik, kami menghadapi sembilan perlawanan persahabatan dan saya beraksi kesemua perlawanan,” jelas Fabinho bercakap kepada media Brazil, Globo Esporte.
”Ia sangat bagus dapat beraksi menentang kelab Inggeris untuk melihat bagaimana rentak, intensiti dan corak permaianan fizikal yang mereka miliki.”
”Saya menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan. Pemain yang lebih berpengalaman telah membantu saya, pasukan teknikal juga.”
”Saya dan isteri juga menyukai bandar ini, seperti berada di tanah air kami sendiri. (Roberto) Firmino juga merupakan seorang yang hebat, keluarganya memberikan sokongan yang baik buat saya dan Alisson.”
”Ia baik-baik sahaja. Mempunyai pemain kelahiran Brazil dalam pasukan benar-benar membantu. Sekarang saya cukup bersedia untuk membuat penampilan pertama. Saya baik-baik sahaja, berlatih dengan baik dan cukup bersedia.”