Quantcast

BERITA

FA Selangor Lancarkan Kempen Kongsi Kenderaan #SSACarpool

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semalam melancarkan kempen #SSACarpool sebagai inisiatif untuk menjemput lebih ramai penyokong mereka ke Stadium Shah Alam.

Menurut sumber, tujuan kempen tersebut dijalankan adalah kerana pihak mereka mendengar ramai rungutan peminat mereka yang sukar ke Stadium Shah Alam kerana kesukaran mendapatkan kenderaan awam dan faktor kos.

“Kerana mendengar keluhan ramai penyokong Red Giants yang kesukaran mendapatkan kenderaan ke Stadium Shah Alam, FA Selangor mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen #SSACarpool.”

“#SSACarpool adalah satu kempen untuk menggalakkan penyokong Red Giants untuk berkongsi kenderaan ke Stadium Shah Alam dari seluruh negeri Selangor.”

“Cara menjayakan kempen ini adalah menggunakan tanda pagar #SSACarpool apabila anda mencari rakan-rakan baru dari kawasan yang sama yang ingin ke Stadium Shah Alam sewaktu hari perlawanan.”

“Penumpang yang ingin mencari kenderaan untuk berkongsi juga boleh melakukan pencarian di media sosial dengan menggunakan tanda pagar ini, contohnya #SSACarpool Sabak Bernam. Gerak pukul 5 petang. Pickup point/Drop off: SK Sabak Bernam. 2 kekosongan penumpang,” tulis kenyataan itu.

Kempen itu dilihat bukan sahaja dapat membawa lebih ramai penyokong ke stadium, malahan mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan masalah parkir, lebih menjimatkan mesra alam sekitar, selain peluang untuk berjumpa dengan rakan-rakan baru.

Di Facebook, selepas 24 jam kempen itu dimulakan, ia telah menerima reaksi positif dari penyokong Selangor dan penyokong bola sepak Malaysia amnya. Sewaktu artikel ini ditulis ia sudah menerima hampir 1000 reaksi, 178 komen dan 77 perkongsian.

Tinjauan kami di Twitter dan Instagram juga mendapati bahwa kempen ini sudah mula menular dengan masing-masing mencari rakan-rakan baru untuk ke Stadium Shah Alam untuk perlawanan menentang Perak pada hari Jumaat ini.

Diharapkan agar kempen positif seumpama ini akan turut disertai oleh pasukan-pasukan lain di Malaysia dan akan menarik lebih ramai peminat untuk turun ke stadium masing-masing untuk memeriahkan lagi kancah bola sepak Malaysia.