Quantcast

BERITA

FA Selangor Lancar Fasiliti Baru Bernilai RM1.5 Juta Di Shah Alam

Persatuan Bola Sepak Selangor (FA Selangor) hari ini telah melancarkan kemudahan latihan pemain dan pejabat baru di Padang Latihan SUK, Seksyen 5, Shah Alam. Pusat latihan berkeluasan 400,000 kaki persegi itu adalah bukti komitmen FAS untuk membawa persatuan ke tahap yang lebih tinggi.

Majlis perasmian fasiliti baharu yang dinamakan FAS Training Centre itu telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri oleh pihak penaja, exco persatuan dan wakil media.

“Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), merupakan satu entiti yang besar dalam kancah bola sepak Malaysia. Meskipun telah tertubuh selama hampir 83 tahun dan berjaya meraih pelbagai kejuaraan utama di Malaysia, FAS masih lagi beroperasi di pejabat yang usang di Kelana Jaya dan hanya mempunyai pusat latihan yang serba kekurangan,” jelas RMS sewaktu ucapan perasmian beliau.

“Beta berharap agar kemudahan baru ini dapat menaikkan lagi semangat pemain, barisan kejurulatihan serta staf dalam memberikan yang terbaik untuk persatuan, sekaligus mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Merah Kuning di Malaysia.”

Perasmian fasiliti baharu yang merupakan visi pertama beliau ini turut menyaksikan pusat pentadbiran FA Selangor telah berpindah dari pejabat lama mereka yang terletak di Kelana Jaya selepas hampir 23 tahun.

Kemudahan baharu yang dilengkapi padang latihan, gimnasium, kawasan rawatan fisioterapi, kedai cenderamata dan kompleks pejabat ini bukan sahaja diharapkan dapat memberi semangat dan inspirasi baru kepada pemain, selain menbolehkan pentadbiran persatuan dan kejurulatihan diletakkan di bawah satu bumbung.

Kredit foto: FA Selangor

Bercakap kepada SemuanyaBOLA, setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon pula melahirkan rasa syukur dan gembira setelah visi yang telah menjadi sebuah realiti.

“Setelah mengambil alih pucuk kepimpinan persatuan, pihak pengurusan baharu telah menggariskan 5 teras untuk memperkasakan Selangor FA. Pembinaan fasiliti ini adalah perkara pertama yang telah diputuskan dan alhamdulillah, impian FAS untuk mempunyai fasiliti yang lebih baik dan pusat pentadbiran persatuan yang lebih mampan telah berjaya direalisasikan.”

Johan juga sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada Vizione Holdings Berhad, salah satu rakan strategik FAS yang juga menjadi penggerak utama dalam pembinaan fasiliti yang bernilai RM1.5 juta ini.

“FAS mengucapkan terima kasih kepada Vizione Holdings Berhad diatas kepercayaan yang diberikan. Komitmen inilah yang bakal membuatkan pasukan lebih bersemangat untuk memburu kemenangan di atas padang”.

“Kami berharap melalui kerjasama ini, maka lebih banyak syarikat akan tampil sebagai rakan penaja kepada FA Selangor,” tambahnya.

Johan turut mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor kerana memberi lampu hijau untuk menjadikan transformasi fasiliti tersebut menjadi realiti.

“FA Selangor juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor terutamanya kepada Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Amirudin Shari kerana terus menerus memberikan komitmen untuk memajukan bola sepak Selangor. Tanpa kerjasama dari mereka, fasiliti serba moden ini pasti tidak akan berjaya dibina.”

Fasiliti baru ini dibina hasil kerjasama persatuan bersama Vizione Holdings Berhad, sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan awam, pembinaan infrastruktur dan pembangunan hartanah yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.