FA England Dikritik Selepas Menghukum Pengadil Kerana Kesalahan ‘Osom’

Pengadil di England diharamkan daripada menggunakan batu/kertas/gunting ataupun ‘osom’ untuk menentukan siapa yang akan memulakan perlawanan.

Di England, ramai pengadil peringkat akar umbi, liga komuniti dan perlawanan bola sepak wanita menggunakan pendekatan itu dalam menentukan pemula untuk sepak mula perlawanan.

Kes osom melibatkan McNamara

Di England ketika ini sedang hangat memperkatakan tentang kes David McNamara.

David McNamara telah digantung 3 minggu daripada mengadili mana-mana perlawanan bermula daripada 26 November 2018. Ini gara-gara beliau menggunakan pendekatan osom dalam Liga Super Wanita (WSL) di England.

Insiden itu telah menjadi tular selepas perlawanan itu ditayangkan secara langsung. McNamara menyatakan beliau terpaksa melakukannya kerana terlupa membawa duit syiling.

FA England mengeluarkan kenyataan: “FA boleh mengesahkan bahawa pengadil David McNamara telah pun digantung 21 hari daripada tugasan bermula daripada 26 November. Ini selepas beliau menerima pertuduhan ke atas dirinya kerana tidak menjalankan tugas sebaik mungkin dalam perlawanan.”

“Ini berikutan insiden dalam WSL – perlawanan di antara Manchester City dan Reading pada 26 Oktober; apabila beliau gagal menentukan pasukan mana yang memulakan perlawanan menggunakan ‘coin toss‘ – sepertimana yang termaktub dalam the Laws of the Game.”

Pengurus Pengadil FA Wanita, Joanna Stimpson berkata: “Pengadil terlupa membawa syiling dan detik itu ditayangkan di tv, ianya sangat gila.”

Joanna menganggap tindakan McNamara itu memalukan dan harus sedar akan garis panduan yang wajib beliau ikuti.

Lebih 100 pengadil sokong McNamara

Walaubagaimanapun, McNamara telah diberikan sokongan lebih daripada 100 orang rakan sejawatannya agar hukuman itu ditarik balik. Salah satu badan yang menyokong beliau adalah Ref Support UK yang memberikan beliau syiling diraja tentera laut.

Ini kerana, bagi mereka hukuman itu agak melampau. Salah seorang rakan sejawatan McNamara, Ryan Hampson berkata: “Kami ketika ini menzahirkan simpati ke atas David. Kami mahu menunjukkan solidariti untuk beliau.”

Menurut Hampson lagi ramai pemain sendiri yang meminta untuk osom sebelum sepak mula di Lancashire/ Ianya sudah menjadi kebiasaan serta diamalkan sejak sekian lama.

Beliau mencerita pengalamanya: “[Hari itu] belum sempat saya berkata apa-apa, ada 4 pemain datang kepada saya dan berkata: ‘Ref, kita hari ini osom (rock/paper/scissors) ke tidak?’ – kerana mereka terbaca isu ini di media.”

Dalam peraturan 8 ditegaskan bahawa; sebelum perlawanan ataupun masa tambahan, balingan syiling akan digunakan untuk menentukan pasukan mana yang akan memulakan perlawanan. Ketua pasukan yang meneka tepat akan memilih sama ada untuk memulakan perlawanan ataupun memilih arah padang untuk diserang.

CEO Ref Support UK – Martin Cassidy bertegas menyatakan pengadil tidak terkecuali daripada kewajiban untuk menepati undang-undang. Namun mereka tak setuju dengan hukuman ke atas McNamara yang dianggap terlalu berat.

“Kita tidak boleh membiarkan sesiapa sahaja dengan sengaja melanggar undang-undang bola sepak. Walaubagaimanapun, kami memahami kenapa beratus-ratus orang mengambil bahagian dalam menyatakan sokongan ke atas McNamara.”

“Jumlah sokongan [yang besar] ini sepatutnya menghantar mesej kepada FA – bahawa hukuman itu adalah tidak sepatutnya.”

Ref Support UK juga menyatakan sokongan mereka ke atas tindakan David McNamara yang membuat rayuan untuk kesalahan tersebut. Mereka berharap FA England akan mempertimbangkannya. Mereka merasakan FA sepatutnya memberikan surat amaran sahaja untuk kesalahan ini.

Selain daripada sokongan daripada rakan pengadil, McNamara turut mendapat sokongan daripada pengadil daripada Rugby Union – Nigel Owen. Owen berkata: “Pastinya kita patut gunakan logik akal . Jika kedua-dua kapten gembira untuk melakukannya, kenapa tidak? Saya lakukan perkara yang sama dengan Blues vs Ospreys dan NZ vs Barbarians – atas permintaan kapten mereka.”

“Bagi saya, kadangkala kita perlukan sedikit keseronokan [dalam tugasan]. Hidup ini tak lama, senyum dan bergembiralah.”

Namun begitu ada beberapa kelompok pengadil menyatakan sokongan mereka terhadap hukuman ke atas McNamara. Salah seorang pengadil liga komuniti yang enggan namanya didedahkan berkata kepada BBC: “Ada 2 kesalahan dilakukan [McNamara].”

“Pertamanya pengadil adalah penguatkuasa peraturan dan bukannya pelanggar undang-undang. Kesalahan ini sangat tidak profesional dan [boleh] membuatkan perlawanan ini menjadi tak sah. Seterusnya, beliau melakukan perkara itu kerana terlupa membawa syiling, ianya kesalahan yang agak melampau.”

Namun begitu ramai pengadil tetap menyokong McNamara dan menyangkal pendapat di atas. Ini kerana mereka menyatakan bahawa duit syiling tiada dalam senarai barang wajib dibawa oleh pengadil dalam perlawanan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN