Bekas penyerang England, Wayne Rooney gagal untuk memberikan inspirasi yang diperlukan oleh pasukannya serta penyokong Derby County apabila gagal memberikan impak yang diperlukan dalam aksi pusingan keempat FA Cup.
Menentang Northampton Town di PTS Academy Stadium, pasukan yang beraksi di EFL Championship itu gagal untuk mara ke pusingan seterusnya dengan sekali percubaan walaupun lawan yang ditentang mereka adalah pasukan yang beraksi di EFL League Two (divisyen empat).
Menurut laman BBC Sport, Derby County jelas tidak menepati jangkaan sebagai pasukan lebih handal apabila gagal melakukan sebarang percubaan tepat sepanjang perlawanan.
Malah, Northampton Town yang melakukan 14 percubaan turut mempunyai satu percubaan tepat ke arah pintu gol.
Pasukan tuan rumah hampir mendahului hasil tandukan yang dilakukan oleh Vadaine Oliver namun tandukan beliau hanya sipi sahaja dari tiang pintu gol Derby County.
Oliver juga terlepas peluang untuk meletakkan pasukannya di depan apabila percubaan beliau itu terus ke palang di separuh masa pertama.
Derby County jelas tidak berjaya beraksi dengan baik apabila Northampton Town jelas adalah pasukan yang lebih berbahaya sepanjang perlawanan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam usaha mencari pemenang dalam perlawanan ulangan.