Pasukan EFL Championship, Middlesbrough mencipta kejutan selepas menumbangkan Manchester United untuk menghantar kelab utama England itu pulang awal dari FA Cup musim ini.
Perkara itu berlaku selepas aksi awal untuk saingan pusingan keempat minggu ini dimulakan dengan tumpuan terarah kepada perlawanan di Old Trafford.
United yang diselubungi isu hangat di luar padang melibatkan Mason Greenwood, hadir ke kejohanan ini dengan moral yang tidak begitu baik.
Namun, mereka cuba untuk memberikan persembahan cemerlang terutamanya di hadapan penyokong sendiri dan itulah yang berjaya dilakukan.
Mereka berpeluang untuk mendahului menerusi sepakan penalti Cristiano Ronaldo selepas Paul Pogba dijatuhkan pemain lawan.
Akan tetapi, Ronaldo yang jarang sekali gagal menyempurnakan sepakan penalti, menyepak serong bola itu dan tersasar dari gawang Middlesbrough.
Jadon Sancho meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-25 menerusi penyudah dari dalam kotak penalti hasil sepakan kaki kirinya.
Pelawat menjaringkan gol penyamaan diseparuh masa kedua perlawanan menerusi Matt Crocks pada minit ke-64.
Crooks menolak mudah bola ke dalam gol selepas menerima umpanan sungkit Duncan Watmore yang melepasi Dean Henderson.
Akan tetapi, bantuan gol Watmore itu terpalit kontroversi kerana terlihat seperti bola terkena tangan pemain itu sebelum menghantar kepada Crooks.
Namun gol itu dibenarkan oleh pengadil dan kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat masa sebenar dan 30 minit masa tambahan.
United mempunyai peluang untuk mendahului selepas berjaya mencuri bola di depan gol pihak lawan tetapi percubaan Bruno Fernandes terkena tiang.
Disebabkan tiada aksi ulangan atau replay dalam FA Cup, pemenang terpaksa dicari menerusi sepakan penalti.
Juan Mata, Harry Maguire, Fred, Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes, Scott McTominay dan Diego Dalot kesemuanya berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk tuan rumah.
Sementara Jonny Howson, Marcus Tavernier, Sol Bamba, Duncan Watmore, Dael Fry, Lee Peltier, Paddy McNair dan Martin Payero menyempurnakan tugas untuk Middlesbrough.
Apabila tiba tugas Anthony Elanga untuk menyepak, beliau memilih untuk melambungkan bola itu tinggi dari gawang gol dan menjadikan satu-satunya pemain yang tidak berjaya menjaringkan penalti.
Kegagalan Elanga mengesahkan tumbangnya United di laman sendiri dan Middlesbrough layak pusingan seterusnya.
Keputusan penuh, Manchester United 1-1 Middlebrough, Boro layak selepas menang menerusi sepakan penalti 7-8.