Bekas pemain Manchester United, Patrice Evra mengatakan pasukan tersebut perlu kembali mendapatkan semua kemegahan mereka yang kini telah hilang.
Dalam sebuah temuramah eksklusif bersama media kelab tersebut, Evra memberikan pengalaman beliau sendiri ketika menjadi pemain West Ham United musim lalu ketika menentang Manchester United.
Perlawanan tersebut yang diadakan di London Stadium dimenangi oleh West Ham United dengan jaringan 3-1.
“Saya amat terkejut dengan rakan sepasukan saya ketika itu. Mereka sungguh yakin dapat tewaskan Manchester United.”
“Saya masih ingat pemain semua cukup fokus ketika latihan dan tiada seorang pun rasakan kami akan kalah kepada Manchester United.”
Keyakinan itu dibawa dari padang latihan ke stadium dengan West Ham United menewaskan Manchester United dengan aksi yang memberangsangkan.
“Selepas perlawanan, saya gembira dengan persembahan pasukan tetapi dalam masa yang sama terluka kerana saya adalah peminat Manchester United walaupun bermain untuk West Ham United.”
“Pasukan saya kini sedang menuju kejatuhan. Saya mahukan kemegahan kelab itu kembali. Saya rasa sedih apabila orang menganggap Manchester United itu pasukan yang tidak punya apa-apa. Ianya membunuh saya.”
Manchester United akan bertemu West Ham United di London Stadium pada Ahad, jam 9 malam waktu Malaysia.