Evan Dimas dikatakan menolak tawaran kelab dari Indonesia buat masa ini dan sedang mempertimbangkan tawaran dari Malaysia dan Thailand.
Pemain muda berbakat ini adalah pemain tengah pertahanan jenis kotak ke kotak. Aksi beliau dengan Indonesia pada Sukan SEA Kuala Lumpur lalu menunjukkan Evan Dimas semakin matang di dalam padang.
Evan Dimas yang berusia 22 tahun membantu Bhayangkara menjuarai Liga 1 Indonesia. Beliau menjadi pemain penting dalam musim lalu.
Evan pernah berlatih bersama-sama Barcelona dan pernah mencuba untuk menjadi pemain La Liga. Namun beliau kembali semula ke Indonesia selepas itu.
Evan Dimas mewakili Indonesia di semua peringkat termasuk skuad senior. Beliau dianggap antara bakat paling berharga pada generasi beliau.
Jurulatih Bhayangkara, Sumardji menyatakan ada tawaran dari Thailand dan Malaysia dibuat kepada Evan Dimas. Sumardji terus terang menyebut Selangor antara pasukan yang sangat berminat dengan Evan Dimas. Beliau berkata:
“Ya Evan Dimas akan ke Liga Super Malaysia untuk menguatkan pasukan Selangor. ”
“Saya sudah bercakap sendiri dengan Evan dan dia berkata, jika ada tawaran dari kelab luar yang lebih baik daripada Bhayangkara, dia akan pergi. Jika kelab itu lebih kecil daripada kami, lebih baik dia kekal di sini.”
“Tetapi buat masa ini, masih tiada apa-apa pun yang dimeterai. Saya berharap Evan akan berjaya dengan Selangor. Jika dia mahu pulang semula ke Indonesia suatu hari nanti, saya rasa pilihan terbaik untuknya ialah Bhayangkara.”
Sumardji juga memberitahu, selain Selangor, Chonburi juga antara pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Evan Dimas. Namun beliau menyatakan tawaran Selangor adalah 2 kali ganda lebih tinggi daripada Chonburi.
Sebab itu Sumardji merasakan Evan Dimas akan ke Selangor.
Laporan di Indonesia juga menyebut Selangor sudah berminat mendapatkan Ilham Armaiyn, juga dari Bhayangkara. Armaiyn menjadi penyerang kedua terbanyak liga untuk kelabh beliau, sama jumlah dengan rakan sepasukan Ilija Spasojevic.