Pengurus AS Roma, Eusebio Di Francesco menegaskan bahawa beliau menumpukan lebih daripada sekadar memberikan perhatian khusus kepada Mohamed Salah menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.
Roma yang bangkit untuk mengejutkan gergasi Sepanyol, Barcelona dalam saingan suku akhir akan kembali bertemu buat pertama kali bekas pemain yang dijual dengan harga £34.3 juta pada awal musim panas ini.
Pemain antarabangsa Mesir itu sudah menjaringkan 41 gol musim ini dan baru sahaja diumumkan sebagai ‘PFA Player of the Year’.
”Kami tidak menyediakan permainan untuk menutup (Mohamed) Salah. Jelas sekali kami akan memandang dengan serius pemain bintang seperti dia atau Lionel Messi, tetapi kami menyediakan permainan berdasarkan lawan kami dan bukannya hanya seorang pemain sahaja,” ujar Di Francesco kepada wartawan.
Pendapat itu turut dikongsi pertahanan AS Roma yang pernah merasai pengalaman di Liga Perdana Inggeris, Aleksandr Kolarov.
”Menentang Barcelona kami beraksi sebagai satu pasukan, kami tidak fokus hanya kepada Messi dan bermain dengan cara begini, kami dapat mencipta perkara yang hebat,” jelas Kolarov.
”Ianya bukan dengan menghentikan seorang pemain. Liverpool bukan hanya ada Salah, mereka mempunyai beberapa pemain yang baik.”
Masih segar dengan kejayaan mengatasi Barcelona, Di Francesco percaya anak didiknya berada di tahap terbaik untuk mampu menumpaskan kelab yang dibimbing Jurgen Klopp tersebut.
”Mereka merupakan pasukan dengan kualiti yang hebat. Mereka menunjukkannya dua kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah. Ianya akan memberikan kesukaran untuk kami mengamalkan corak permainan kami.”
”Kami perlu untuk bermain sebagai satu pasukan lebih daripada sebelum ini kerana kami akan berhadapan dengan pesaing yang mempunyai corak permainan berbeza dari Barcelona dari segi kelajuan,” jelas pengurus kelahiran Itali itu.
”Saya sangat menggemari falsafah Jurgen Klopp. Saya gembira dan risau untuk berada di sini (Anfield) untuk berhadapan dengan pasukan yang dibimbing oleh pengurus yang baik.”