Euro 2020: Mampukah England Lepasi Halangan ‘Tembok Chiellini-Bonucci’

Leonardo Bonucci Giorgio Chiellini Itali England

Hanya satu langkah sahaja lagi untuk England mengakhiri 55 tahun kemarau kejuaraan antarabangsa. Namun halangan terakhir mereka untuk menjulang trofi Euro 2020 pula bukanlah calang-calang pasukan.

Jika ditanya apakah faktor utama kepada kekebalan Itali dalam mengekalkan rekod 33 perlawanan tanpa kalah, tidak dapat disangkal lagi ianya adalah sumbangan dua pemain paling berpengalaman dalam skuad Azzurri, Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci.

Penyerang prolifik seperti Romelu Lukaku juga bergelut untuk mengatasi ‘tembok’ yang begitu kukuh ini. Penyerang Belgium itu telah cuba sedaya upaya untuk  mengatasi dua pemain veteren Juventus ini dengan segala macam cara.

Tetapi pemain yang telah menjaringkan 59 gol di peringkat antarabangsa itu juga terpaksa pulang hampa selepas pasukannya yang memiliki deretan pemain terbaik dunia juga ditendang keluar oleh Itali di peringkat suku akhir.

Begitu juga dengan aksi separuh akhir yang menyaksikan Sepanyol mendominasi sebahagian besar penguasaan bola. Namun Chiellini dan Bonucci seolah-olah tidak dimamah usia, mereka bagitu cekal bertahan sepanjang 120 minit perlawanan.

Gabungan di antara kedua pemain ini telah mencapai 219 kaps dan mereka sepertinya sudah begitu sebati dan saling memahami, apatah lagi kedua-dua menghabiskan sebahagian besar karier mereka di kelab yang sama.

The Three Lions mungkin memiliki generasi terbaik mereka di bahagian serangan. Kredibiliti Harry Kane selaku salah seorang penyerang terbaik dunia tidak perlu disangkal lagi.

Kapten England itu diapit pula oleh deretan pemain muda berbakat seperti Raheem Sterling, Bukayo Saka, Marcus Rashford, Jadon Sancho, Jack Grealish dan Phil Foden. Semuanya memiliki teknik dan kepantasan yang cukup luar biasa.

Namun harus diingat, Chiellini dan Bonucci sudah membuktikan penyerang mana pun yang mereka hadapi, pastinya akan menjadi ‘mangsa buli’ dengan menggunakan kelebihan fizikal serta gaya permainan mereka yang keras.

Namun Sepanyol mungkin telah mendedahkan sedikit kelemahan dua pemain ini. Atas faktor usia, mereka pastinya agak bergelut dengan kepantasan. Mana-mana pertahanan sekalipun, mereka cukup benci dengan pemain yang pantas dan tangkas.

Dengan memiliki pemain-pemain sayap seperti Sterling dan Saka yang begitu licik, Gareth Southgate mungkin perlu mengubah peranan Harry Kane selaku penyerang utama sebagai ‘umpan’ untuk membuka ruang yang lebih banyak di bahagian pertahanan Itali.

Kehilangan Leonardo Spinazzola merupakan satu tempatan hebat buat Roberto Mancini memandangkan pemain pertahanan kiri itu cukup menonjol dalam kejoahanan ini sebelum ditimpa kecederaan serius sewaktu berdepan Belgium tempoh hari.

Tetapi penggantinya, Emerson Palmeiri juga bukanlah pemain yang mudah untuk ditembusi, apatah lagi beraksi bersama Chelsea, tentunya beliau sudah cukup masak dengan corak permainan bola sepak Inggeris.

Begitu juga dengan seorang lagi pemain The Blues, Jorginho yang akan bertindak sebagai ‘perisai’ di hadapan barisan pertahanan. Beliau memiliki statistik pintasan tertinggi pasukannya dalam kejohanan ini.

Namun perlu diingat, kelebihan England adalah pemain-pemain yang berada di bangku simpanan mereka. Sekiranya perlawanan diheret sehingga ke masa tambahan, Southgate telah membuktikan beliau mempunyai kepakaran dalam memilih pemain yang tepat untuk dimasukkan bagi mencipta impak yang diperlukan.

England perlu berada pada tahap terbaik sepanjang 90 atau 120 minit untuk menewaskan Itali. Tentunya mereka lebih berkeyakinan untuk mencatat sejarah gemilang di hadapan penyokong sendiri.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

Kenali Pengadil Terkaya Dunia Yang Dipilih Adili Perlawanan Akhir Euro 2020

Kenapa Itali Digelar “Azzuri” Dan Jersi Biru Jadi Pilihan?

Mikkel Damsgaard: Budak Ajaib Denmark Yang ‘Meletop’ Di Euro 2020

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN