Pengendali utama Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Esteban Solari menjadi antara individu paling bersemangat kini untuk menghadapi aksi ketiga saingan AFC Champions League (ACL) peringkat Kumpulan I bertemu wakil dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
Setelah tampil dengan momentum cukup positif lalu menerusi kemenangan 4-2 berdepan BG Pathum di Thailand, pastinya kini JDT mahu meneruskan aksi dengan keputusan positif.
Untuk rekod, JDT telah pun memalukan kelab dari Korea Selatan itu pada tahun lalu sebanyak dua kali ketika saingan ACL yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Pastinya Solari mempunyai impian besar untuk meneruskan rekod positif tersebut serta memberi kegembiraan besar buat para penyokong setia Harimau Selatan serta membanggakan nama Malaysia.
Tambahan pula, mereka kini masih lagi segar dengan kemenangan 4-1 ketika aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia sewaktu berdepan Perak, dengan moral pemain dilihat berada dalam keadaan cukup baik.
Mengulas tentang perlawanan hari ini, ianya sedikit berbeza kerana JDT bakal beraksi di gelanggang lawan iaitu Stadium Bola Sepak Munsu bersama persekitaran suhu lebih sejuk.
Jika musim lalu saingan dilakukan secara berpusat iaitu di SSI kerana wabak Covid-19 yang melanda dunia, kali ini cabaran bakal dihadapi mereka lebih getir
Jelas Solari, aksi hari ini dianggap cukup penting kerana JDT ingin memburu slot ke pusingan seterusnya dan tidak ingin keciciran sebarang mata berharga.
“Saya difahamkan Ulsan membawa masuk beberapa pemain muka baharu dan pastinya mereka akan tampil dengan corak permainan berbeza.
“Bagi saingan ACL, kami membuat persiapan sejak 10 bulan lalu termasuk aksi menentang kelab dari Korea Selatan.
“Jadi, kami bersedia berdepan Ulsan dengan membuat persiapan serius secara psikologi serta fizikal dan pemain tampak tidak berdepan masalah untuk beraksi.
“Tidak dinafikan Ulsan dibarisi pemain berkualiti dan ia bakal menjanjikan aksi berintensiti tinggi, sekali gus peluang terbaik kami beraksi dengan kualiti permainan terbaik bagi mengimbangi kekuatan lawan,” katanya menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, Solari juga menyifatkan ACL sebagai medan terbaik buat JDT untuk mempamerkan kualiti sebenar mereka serta tampil optimis untuk membawa pulang keputusan positif ke Malaysia.
“Antara cabaran perlu digalas bagi membimbing JDT apabila pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukan sahaja mahu JDT hebat di saingan liga tempatan, malah turut menyerlah di peringkat antarabangsa.
“ACL adalah medan terbaik untuk pamer kualiti dan kami optimis akan turun menentang Ulsan dengan aksi terbaik dan membawa pulang keputusan positif,” kata Solari akhir sekali.