Esteban Solari selaku pengendali utama Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil bersemangat kini untuk mengharungi aksi kedua saingan AFC Champions League (ACL) bagi peringkat Kumpulan I berdepan wakil dari Thailand, BG Pathum.
Selepas merekodkan kekalahan sulung mereka di tangan Kawasaki Frontale dari Jepun ketika beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) lalu, pastinya kini pengendali tersebut tidak rela melihat pasukannya terus keciciran mata.
PRESS CONFERENCE | BG PATHUM UNITED VS JDT
More photos at https://t.co/nIKnvlGTed#BGPvJDT#AFCChampionsLeague#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/lZH2GU7iFo
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) October 2, 2023
Menerusi momentum semasa JDT kini yang sangat cemerlang dalam saingan domestik serta memberi persaingan sengit sewaktu berdepan Kawasaki Frontale, dijangka Harimau Selatan mampu untuk mencipta sesuatu di Thailand malam ini.
Jelas Solari, pengalaman diraih pasukan kendalian beliau ketika berdepan lawan dari Jepun sebelum itu menjadi suatu pengajaran sangat berguna buat mereka untuk tampil lebih baik serta bermotivasi bagi mengharungi aksi kedua berdepan BG Pathum.
Malah, persiapan semasa JDT juga kini berada dalam keadaan baik dan pengendali dari Argentina itu jelas mahu menghasilkan keputusan lebih bagus berbanding perlawanan pertama lalu.
“Kita tahu akan berdepan aksi sukar apabila kami bertandang ke gelanggang lawan dan menentang pasukan yang memiliki barisan pemain yang berkualiti yang mempratikkan corak permainan mantap.
“Saya jangkakan ia perlawanan menarik kerana kami juga akan tampil permainan berintensiti tinggi dan meningkatkan lagi disiplin taktikal bukan sahaja bagi mengimbangi kekuatan pasukan lawan malah mahu tampil lebih agresif dalam usaha memburu kemenangan pertama.
“Seperti yang saya katakan, kami di JDT mahukan kemenangan dan kami akan bangkit dengan lebih mantap selain mahu mengekalkan momentum permainan dan tiga mata pertama seandainya jadi kenyataan, ia amat penting bagi kami,” katanya menerusi laporan Berita Harian.
Pada masa sama, Solari juga memberi bayangan pertahanan import JDT musim ini iaitu Jordi Amat berkemungkinan besar akan dipertaruhkan bagi berdepan gergasi Thailand tersebut.
Official training at Patum Thani Stadium. 🇹🇭
More photos at https://t.co/mS8oFSY2fR#JDT#TrainingSession#AFCChampionsLeague#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/c8GlAq2ysZ
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) October 2, 2023
Malah, penyerang berbisa JDT iaitu Fernando Forestieri juga dilaporkan kini semakin baik daripada kecederaan serta menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan lain.
“Jordi sudah bersama rakan sepasukan menjalani latihan dan dia tampak bersedia dan berkeyakinan memberi persembahan terbaik menentang BG Pathum United manakala kecederaan yang dialami Fernando (Forestieri) juga tidak serius malah mula menjalani latihan.
“Apa yang bolehkan katakan, JDT akan turunkan kesebelasan terbaik dan akan bermain bersungguh-sungguh untuk membawa pulang tiga mata dan apa jua kelemahan terutama aspek serangan dan bertahan sudah diperkemaskan,” kata pengendali itu lagi.
Untuk rekod pertemuan, kedua pasukan ini pernah berentap pada tahun 2015 bagi aksi kelayakan ACL, di mana JDT mencatat kekalahan kepada kelab tersebut di gelanggang lawan.