Pengendali berpengalaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari sah antara yang akan meninggalkan pasukan tersebut untuk saingan pada musim hadapan.
Kenyataan itu dikeluarkan sendiri oleh laman Johor Southern Tigers (JST), selepas nama Solari antara yang dilaporkan tidak lagi bersama JDT selain beberapa staf serta pemain turut tidak bersama pasukan tersebut bagi saingan 2024.
Tujuan beberapa nama tersebut digugurkan adalah kerana JDT kini sedang membuat beberapa perubahan termasuk untuk mengurangkan perbelanjaan mereka untuk penstrukturan dibuat semula.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada barisan kejurulatihan, pemain dan kakitangan yang akan meninggalkan kelab.
“Harimau Selatan sedang melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan sehingga 30-40% disebabkan keperluan untuk penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab.
“Kelab telah membelanjakan sejumlah wang untuk projek bola sepak sepanjang enam hingga tujuh tahun ini,” jelas kenyataan tersebut.
Selain Solari, staf lain turut terlibat iaitu Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.
Para pemain senior pula melibatkan Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga sah tidak lagi bersama JDT untuk saingan hadapan.
Selain itu, Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli sah bakal dipinjamkan ke kelab lain untuk saingan musim hadapan.
“Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.
“JDT juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pemain yang akan dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli,” jelas kenyataan itu lagi.
Jelas ini merupakan suatu kejutan yang dicipta pasukan tersebut, selepas ramai sebenarnya menjangkakan Solari akan terus kekal menerajui JDT pada musim hadapan.
Malah, kelibat Akhyar Rashid juga antara tidak dijangka sebenarnya turut akan dipinjamkan kepada pasukan baharu unruk saingan musim hadapan.