Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde menyatakan beliau sendiri tidak pasti akan masa depan beliau bersama dengan kelab tersebut. Isu masa depan Ernesto Valverde menjadi tanda tanya selepas pengurusan Barcelona terus berdiam diri isu kontrak jurulatih tersebut.
Kontrak semasa Ernesto Valverde akan berakhir pada akhir musim ini. Ia bercanggah dengan kenyataan Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu yang menyatakan kontrak Valverde akan berakhir pada 2020.
Namun buat masa ini, beliau masih belum menerima sebarang tawaran lanjutan kontrak yang baru daripada Barcelona. Kontrak semasa Valverde ada satu klausa khas di mana Barcelona boleh menamatkan kontrak pengurus itu lebih awal.
Beliau berkata kepada Barca TV: “Saya tidak pasti apa yang akan saya lakukan pada musim hadapan. Dalam bola sepak, siapa tahu? Kita semua hanya tahu bagaimana perkara itu berlaku namun saya tidak pernah memikirkan soal jangka panjang. Bagi kami, 2 bulan itu sudah dikira panjang.”
Bagi Valverde, menjadi pengurus pasukan seperti Barcelona sangat mencabar. Tekanan sentiasa akan tiba jika kalah. Beliau menambah lagi: “Jika kamu menang, semua orang gembira, jika kamu kalah, semua orang memerhatikan kamu.”
“Apa yang saya inginkan adalah semua orang berpuas hati dengan kerja saya. Namun kita tidak akan menipu dalam tugasan kita.”
“Jika kamu gagal menjuarai liga, semua orang mencari jurulatih untuk dijadikan sasaran. Saya cuba memenuhi objektif dan sudah pastinya, berapa lama lagi masa yang kita ada? Kita akan lihat nanti.”
Barcelona kini berada di tangga teratas La Liga dengan hanya 3 mata di atas Atletico Madrid. Ernesto Valverde mahu memastikan Barcelona dapat mempertahankan kejuaraan La Liga pada musim ini. Barcelona akan berhadapan dengan Eibar pada hujung minggu ini.