Ernando Ari – ‘The Next Kurnia Meiga’: Penjaga Gol Yang Tepis Penalti 2 Bintang Luar Negara Malaysia

Next Kurnia Meiga Ernando Ari Indonesia B-23

Penjaga gawang skuad B-23 Indonesia yang dilabel ‘The Next Kurnia Meiga’, Ernando Ari sewajarnya diangkat antara pemain terbaik dalam perlawanan merebut pingat gangsa Sukan SEA 2021 menentang Malaysia.

Indonesia mengatasi Malaysia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan hanya terikat dengan keputusan 1-1 dalam masa sebenar. Dan ketangkasannya memastikan Garuda Muda berjaya.

Perlawanan ini menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam misi memburu sekurang-kurangnya pingat gangsa – jika tewas akan pulang dengan tangan kosong. Walaupun hujan lebat menghiasi Derbi Nusantara ini, ia sesekali tidak menghalang untuk Malaysia dan Indonesia mempamerkan permainan baik.

Sukan SEA: Tampil Serba Tempang, Indonesia Tetap Buat Malaysia Kempunan Pingat

Sebelum penentuan sepakan penalti, Indonesia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ronaldo Kwateh pada minit ke-68 selepas melepasi kawalan pertahanan untuk menewaskan Rahadiazli Rahalim di gawang skuad negara. Ia disamakan oleh Hadi Fayyadh pada minit ke-81, menewaskan Ernando buat kali pertama.

Rahadiazli dan Ernando sememangnya wira pasukan masing-masing apabila beberapa kali menyelamatkan gawang daripada dibocori pihak lawan menerusi peluang boleh gol. Aksi masa sebenar gagal pisahkan mereka.

Dan perlawanan ini dibawa ke penentuan sepakan penalti untuk menguji kekentalan mereka berdua di gawang.

Terang lagi bersuluh, Ernando tampaknya lebih kental dan tangkas dalam memastikan gawangnya tidak bocor.

Ernando menepis dua sepakan penalti oleh dua penyerang sensasi skuad negara yang berkelana ke luar negara, Hadi Fayyadh dan Luqman Hakim Shamsudin bagi memastikan Indonesia membawa pulang pingat gangsa kelima mereka sepanjang beraksi di Sukan SEA sejak edisi 1977 – mengulangi pencapaian di edisi 2017.

Ernando sememangnya telah mula meningkat namanya di bumi Indonesia apabila menjadi tonggak utama di gawang Persebaya Surabaya pada musim ini di usia 20 tahun. Beliau telah tampil sebanyak 19 kali di saingan Liga 1 Indonesia dan membantu pasukannya menduduki tangga kelima selain melakar lima cleansheet.

Malah, menurut pemerhati bola sepak di Indonesia yang juga Pengarah Akademi Persebaya, Ernando boleh dilabel ‘The Next Kurnia Meiga’. Kurnia Meiga adalah antara penjaga gol terbaik pernah dimiliki Indonesia.

“Ernando ini penjaga gol masa depan skuad senior. Dulu kita ada penjaga gol muda berbakat, Kurnia Meiga. Sekarang mungkin belum ada lagi yang menyamai dia. Nah, Ernando ini saya yakin akan menjadi penjaga gol harapan di masa depan. Ernando semakin berkembang dengan baik. Di usia muda, dia ada mental juara. Di kelab, kemampuannya semakin terasah. Dia sudah diharapkan Persebaya di peringkat senior.”

Hanafing, Bola.com

Dalam Sukan SEA 2021, beliau menyelamatkan satu sepakan penalti dalam perlawanan ketika menumpaskan Timor Leste 4-1 di peringkat kumpulan. Selain itu, beliau boleh dinggap ‘dinding kebal’ ketika sepakan penalti. Beliau pernah menjadi wira skuad B-16 Indonesia saat menjulang kejuaraan Piala AFF B-16 pada tahun 2018.

Mereka berjaya mengatasi Thailand menerusi penentuan sepakan penalti dengan menafikan dua sepakan.

Prestasinya turut meraih pujian ketika mereka tewas 2-4 secara agregat kepada Australia B-23 dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-22 2022 apabila melakukan deretan aksi menyelamat yang memastikan mereka tidak dibelasah. Menurut Hanafing, tanpa Ernando, mungkin Garuda Muda akan menjadi belasahan pasukan lawan.

Jelas, tepisannya terhadap sepakan Hadi Fayyadh dan Luqman Hakim bukanlah nasib. Beliau memang ‘dinding kebal’ ketika sepakan penalti. Dan Malaysia memilih jalan sukar apabila perlawanan dibawa ke zon terbaiknya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN