Pemain remaja sensasi, Erling Haaland yang beraksi untuk RB Salzburg kini dijangka bakal berpindah ke Serie A bagi menyertai Juventus.
Menurut laman 90min, Haaland yang mencipta sensasi ketika saingan peringkat kumpulan UEFA Champions League (UCL) musim ini dikhabarkan sudah bersetuju dengan terma-terma peribadi di dalam kontrak bersama Juventus.
Namun begitu, persetujuan yang dilakukan oleh Haaland dengan Juventus ketika ini adalah menerusi mulut sahaja dan tiada sebarang hitam putih dikeluarkan.
Maka dengan itu, apa yang diperlukan oleh Haaland adalah untuk menurunkan tandatangannya dan beliau akan sah menjadi pemain Juventus sekiranya kertas kontrak diberikan.
Akan tetapi, masih ada tiga kelab yang belum lagi mengalah dalam usaha untuk mendapatkan khidmat beliau memandangkan klausa perlepasannya yang dianggap rendah dalam kancah bola sepak moden.
Dua kelab Bundesliga, Borussia Dortmund dan RB Leipzig serta wakil Premier League, Manchester United masih berusaha untuk mendapatkan Haaland dengan mengaktifkan klausa pemain tersebut yang bernilai €30 juta.
Dengan pengaktifan tersebut, ketiga-tiga kelab masih boleh bercakap dengan pemain tersebut secara terus dan segalanya belum sah selagi Haaland tidak menandatangani mana-mana kontrak.
Haaland dikatakan telah melawat dua kelab Bundesliga itu termasuklah ke Manchester dengan Ole Gunnar Solskjaer terpaksa menjawab spekulasi perpindahan tersebut.
Musim ini, Haaland menjaringkan lapan gol daripada enam perlawanan UCL bersama-sama RB Salzburg.