Erik ten Hag pastinya kini menjadi individu paling gembira selepas sentuhannya bersama Manchester United berjaya memastikan seorang permata baharu dalam dunia bola sepak mula berkembang maju.
Pemain yang dimaksudkan itu ialah Kobbie Mainoo yang semakin mendapat perhatian dalam dunia bola sepak kini menerusi kualiti serta persembahan diberikannya cukup menyakinkan.
Tatkala konsistensi melanda pasukan itu dengan keputusan dihasilkan kurang menyerlah, tampil Mainoo kini yang boleh dianggap sebagai aset terbaharu buat United yang menghadirkan rasa kagum dalam kalangan peminat.
Malah, puncak prestasi beliau juga memastikan kini Mainoo dipanggil untuk menyertai kem latihan kebangsaan skuad senior England bawah kendalian Gareth Southgate.
Pastinya ia menjadi suatu pencapaian begitu hebat buat bintang muda berusia 18 tahun itu untuk cuba mencipta peluang beraksi buat pertama kali bersama skuad senior England berdepan Brazil serta Belgium.
Musim ini juga menyaksikan Mainoo sudah pun diberi peluang beraksi sebanyak 23 perlawanan bersama skuad senior United dan potensi dipamerkannya menjanjikan sesuatu lebih positif pada masa hadapan.
Walaupun begitu, Ten Hag melihat bintang muda ini masih lagi memiliki kelemahan ketara yang perlu diperbaiki untuk menjadikan dirinya selaku pemain lebih hebat pada masa akan datang.
Jelas pengendali berpengalaman itu, sebagai pemain muda Mainoo masih mempunyai banyak ruang dan masa untuk diperbaiki dalam setiap perlawanan dihadapi.
“Saya sangat gembira dengan perkembangan Mainoo kini selaku pemain muda, tetapi saya rasa dia masih mempunyai ruang untuk tampil lebih baik pada masa hadapan.
“Mainoo sepatutnya patut meminta bola dengan rakan sepasukan dengan lebih kerap di atas padang ketika diberi peluang beraksi di atas padang.
“Perasaan saya, dia boleh tampil lebih menyerlah jika dia mampu perkukuhkan lagi aspek kreativiti dalam membuat hantaran di kawasan ‘final third’ untuk menjadi pemain tengah berpengaruh,” ulas Ten Hag menerusi perkongsian Sport Bible.
Hadir dengan skil gelecekan dan tenang mengawal bola, pastinya ramai penyokong The Red Devils tidak sabar melihat jika Mainoo akan diberi peluang beraksi bersama skuad senior untuk berdepan Brazil.
Untuk info, Mainoo juga boleh mewakili skuad kebangsaan Ghana jika beliau tidak beraksi untuk pasukan senior England dan sudah tentu ramai mengharapkan Southgate dapat mengikat bintang muda itu lebih cepat pada aksi akan datang.