Anda kaki FIFA? Kami ada berita yang bakal membuatkan anda berasa teruja!
Premier League dan pengeluar permainan video bola sepak FIFA, EA SPORTS telah mengumumkan kejohanan pertama ePremier League (ePL), memberi peluang kepada pemain yang menetap di UK untuk mewakili kelab Perdana Inggeris kegemaran masing-masing, bersaing untuk merebut kejuaraan tersebut di dunia maya.
Kesemua 20 kelab yang bermain di Liga Perdana Inggeris bakal menyertai kejohanan itu dengan menghantar wakil mereka, yang turut menyaksikan perlawanan akhir bakal berlangsung di London pada 28 dan 29 Mac tahun depan.
“EA SPORTS punyai hubungan kerjasama yang baik sekali dengan Liga Perdana Inggeris dan kami sedang mempersiapkan perincian kejohanan ePremier League ini secepat mungkin,” komen Richard Masters, Pengarah Urusan Premier League.
“Kami tahu yang ada berjuta orang peminat bermain FIFA dan acara e-sukan baru ini bakal memberkan kelab peluang terbaik untuk berinteraksi dengan peminat mereka. Kami dah tak sabar untuk memulakan pusingan kelayakan secara atas talian mulai Januari 2019,” tambah Richard.
Pertandingan ePL bakal dimainkan di FIFA 19 dan akan bermula pada bulan Januari tahun depan dengan pemain bakal berentap sesama sendiri di atas talian (secara online) bagi tempoh 3 bulan.
Peserta juga bakal berentap dalam 3 pusingan yang berbeza; pusingan kelayakan, live playoffs dan akhirnya layak ke perlawanan akhir ePL yang bakal dimainkan secara live.
Untuk perlawanan akhir, ia bakal disiarkan secara langsung di kaca TV di saluran Sky Sports dan mampu ditonton di seluruh dunia.
Kesemua 20 kelab Liga Perdana akan mempunyai acara live playoff mereka sendiri untuk mencari 2 pemain terbaik (1 untuk konsol Xbox dan 1 untuk konsol PlayStation) untuk merebut tempat ke pusingan akhir.
Walau bagaimanapun, tidak seperti pemenang eWorld Cup FIFA, pemenang bagi kejohanan ePremier League ini tidak akan diberikan ganjaran wang tunai, tetapi hadiah trofi beserta beberapa hadiah iringan yang lain.
Pendaftaran untuk pemain ePL ini bakal dibuka pada bulan Disember tahun ini untuk pemain FIFA yang menetap di UK yang berumur 16 keatas.
Bagi pemain FIFA di Malaysia khususnya peminat Liga Perdana Inggeris, jangan bersedih kerana ini adalah cubaan pertama FIFA dan EA SPORTS dalam kejohanan ini.
Siapa tahu, jika mereka usaha ini berjaya, untuk kejohanan ePL yang seterusnya ia akan dibuka kepada penyertaan seluruh dunia dan siapa tahu anda mungkin berpeluang untuk mewakili kelab EPL kegemaran anda sendiri?
Walau apapun, ePremier League ini adalah perkembangan yang sangat positif bagi acara eSukan di masa hadapan.