Kegagalan Bruno Fernandes menyudahkan sepakan penalti pada masa kecederaan memberikan kekalahan pertama Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini selepas tewas 1-0 kepada Aston Villa.
30 minit pertama, permainan nampak seimbang buat kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan dan beroleh beberapa peluang untuk mendapatkan gol pendahuluan.
Luke Shaw terpaksa dikeluarkan pada minit ke-34 selepas mengalami kecederaan dan digantikan oleh Diogo Dalot dan tiada sebarang gol terhasil sepanjang separuh masa pertama.
Peluang terbaik Villa untuk menghasilkan gol adalah pada minit ke-68 menerusi Ollie Watkins yang berjaya mengatasi tiga pertahanan United, namun rembatan derasnya yang tepat ke arah gol berjaya ditepis oleh David de Gea.
Usaha Solskjaer memasukkan Edinson Cavani pada penghujung perlawanan juga tidak membantu, tetapi Aston Villa yang mendapat gol kemenangan pada minit-minit akhir hasil dari tandukan Kortney Hause dari sepakan penjuru.
United yang diberikan sepakan penalti selepas tandukan Cavani terkena tangan Hause gagal disudahkan oleh Fernandes walaupun sebelum itu Cristiano Ronaldo cuba meminta untuk mengambil sepakan.
Ia merupakan kekalahan ketiga dalam empat perlawanan terakhir United termasuk ditendang keluar dari saingan Piala Carabao tempoh hari selepas tumpas kepada West Ham United.