Manchester United terselamat dari kebangkitan luar biasa Leeds United sebelum menang 4-2 dalam pertembungan Derbi Ros di Elland Road untuk kembali ke kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dalam perlawanan yang berlangsung dalam suasana hujan lebat itu, Manchester United selesa mendahului dua gol pada babak pertama. Harry Maguire meletakkan United di hadapan menerusi tandukan dari sepakan penjuru Luke Shaw dan Bruno Fernandes pula menyudahkan hantaran Jadon Sancho.
Leeds bagaimanapun menampilkan kebangkitan dengan dua gol pantas bermula dengan hantaran lintang Rodrigo pada minit ke-53 yang terus masuk menerjah jaring menewaskan David de Gea.
Hanya seminit kemudian pemain gantian Raphinha menyamakan kedudukan dengan menolak masuk hantaran lintang rendah Daniel James dari sebelah kiri untuk menggegarkan Elland Road dengan sorakan penyokong tuan rumah.
Ralf Rangnick pantas mengubah percaturannya dengan membuat beberapa pertukaran dan keputusannya untuk membawa masuk Fred dan Anthony Elangga ternyata tepat apabila kedua-dua pemain berkenaan membalas kepercayaan dengan menjaringkang gol kemenangan buat United.