EPL: Manchester United Terkulai Layu Dibelasah Watford 4-1

Manchester United

Watford nyata cemerlang di laman sendiri apabila mudah membenam cabaran pelawat, Manchester United (MU) dengan keputusan 4-1 pada perlawanan ke-12 Premier League.

Seawal enam minit permainan bermula aksi panas sudah disajikan apabila Joshua King dikasari Scott McTominay dalam petak penalti. Namun Ismaila Sarr gagal menyempurnakan peluang apabila David De Gea berjaya menepis.

Susulan itu Kiko Femenia berjaya meledak gol namun dibatalkan oleh Video Assistant Referee (VAR). Sepakan penalti sekali lagi diberi oleh pengadil apabila VAR mengesan Harry Maguire terlebih dahulu bergerak ke depan sebelum Sarr mengambil sepakan.

Namun De Gea sekali lagi cemerlang mengawal gawang apabila peluang kedua buat Sarr menyempurnakan penalti sekali lagi terhalang.

Permainan nyata dikuasai oleh Watford apabila MU lebih banyak bertahan dan hanya mampu mencipta gerak serangan balas sesekali.

Minit ke-27 Joshua King menggamatkan Vicarage Road apabila berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan setelah menerima umpanan cantik daripada Emannuel Dennis dari sebelah kiri.

WATFORD, ENGLAND – NOVEMBER 20: Joshua King of Watford FC celebrates after scoring their team’s first goal during the Premier League match between Watford and Manchester United at Vicarage Road on November 20, 2021 in Watford, England. (Photo by Alex Pantling/Getty Images)

Menjelang minit 30, MU mendapat peluang keemasan meledak gol penyamaan namun rembatan Marcus Rashford berjaya ditepis sempurna oleh Ben Foster.

Beberapa kali tuan rumah mendapat peluang meledak gol namun MU berdisiplin mengawal kubu pertahanan dari terus dibocori.

Minit ke-39, King sekali lagi hampir meledak gol kedua perlawanan namun kali ini bola tandukan beliau berjaya ditepis oleh De Gea. Susulan daripada Moussa Sissoko hanya sekadar melewati gawang gol.

Sarr berjaya mengubati kekecewaan kali ini apabila berjaya menjaringkan gol cantik pada minit ke-44 apabila menerima umpanan cantik daripada Kiko untuk terus melukakan pasukan pelawat.

Bersambung separuh masa kedua, kemasukan pemain gantian iaitu Van Der Beek setelah menerima umpanan cantik daripada Ronaldo pada minit ke-50 untuk kembali memberi saingan buat tuan rumah.

MU dilihat seperti sudah dapat menstabilkan diri dengan sesekali menguasai permainan berbanding lawan yang dilihat mengendurkan asakan.

Namun segalanya seakan tidak menjadi walaupun banyak peluang terhidang dengan kecemerlangan Foster yang menghalang gol lawan serta Cristiano Ronaldo yang dilihat amat tumpul pada perlawanan ini.

Lebih malang pada minit ke-69 Harry Maguire terpaksa keluar lebih awal susulan layangan kad kuning kedua yang membawa kepada kad merah setelah pertahanan tersebut mencederakan Tom Cleverley.

Kemasukan pemain gantian Joao Pedro membuahkan hasil apabila pemain ini berjaya meledak gol ketiga permainan pada masa tambahan untuk terus memberi luka buat anak buah Ole Gunaar Solskjaer di minit ke-92.

Dennis menutup malam gemilang di laman sendiri apabila penyerang ini cemerlang menyumbat gol keempat perlawanan sebelum wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan ini sekaligus memberi tamparan besar buat skuad Manchester United dan memberi motivasi terbaik buat anak buah Claudio Ranieri untuk perlawanan seterusnya dan naik ke tangga 16 liga.

Leave a Reply