EPL 2019/20: Manchester United Kembali Seperti ‘Kebiasaan’

Manchester United

Manchester United kembali menemui sentuhan kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 apabila berjaya menundukkan Crystal Palace 2-0 pada aksi yang berlangsung di Selhurst Park, sebentar tadi.

Kemenangan bermakna yang dicatatkan menerusi jaringan Marcus Rashford dan Anthony Martial itu juga menyaksikan The Red Devils terus memberikan tekanan buat Chelsea dan Leicester City dalam memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.

Selain daripada tiga mata yang berjaya diraih, ketangkasan David De Gea dalam menafikan beberapa percubaan menarik dijelmakan barisan pemain Crystal Palace jelas mencuri tumpuan pada perlawanan ini.

Penjaga gol berusia 29 tahun itu juga turut berjaya menyamai rekod tanpa dibolosi dalam 112 perlawanan buat Manchester United yang dipegang oleh penjaga gol legenda, Peter Schmeichel.

De Gea pamer ketangkasan

Kemenangan ke-17 yang diraih itu bagaimanapun tidaklah hadir dengan begitu mudah apabila skuad tuan rumah memiliki beberapa peluang terbaik untuk membolosi gawang Manchester United.

Hal ini kerana kira-kira lima percubaan berbahaya dimiliki skuad bimbingan Roy Hodgson tetapi kecemerlangan yang dipamerkan David De Gea di gawangnya jelas begitu menghampakan Crystal Palace.

Antara aksi terbaik dipamerkan De Gea adalah ketika beliau bertindak pantas melayangkan badannya untuk menepis keluar sepakan percuma cantik diledakkan Luka Milivojevic pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Selain itu, beberapa percubaan daripada Wilfried Zaha, Jordan Ayew dan James McCarthy juga dilihat tidak memberikan masalah besar buat penjaga gol skuad kebangsaan Sepanyol itu.

Duo Rashford, Martial terus meledak

Gandingan Rashford dan Martial terus menjadi nadi kepada kekuatan Manchester United selepas kedua-dua pemain jentera serangan itu berjaya mencetak nama selaku penjaring pada perlawanan ini.

Rashford membuka tirai jaringan ketika aksi babak pertama memasuki minit kedua masa kecederaan setelah ketenangannya dalam kawasan penalti tuan rumah membolehkannya melepasi kawalan dua pemain pertahanan lalu menolak masuk bola untuk menewaskan Vicente Guaita.

Jordan Ayew berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-55 selepas hantaran lintang rendah dilakukan Zaha disambar dengan baik pemain skuad kebangsaan Ghana itu.

Bagaimanapun, rujukan Video Assistant Referee (VAR) menyaksikan jaringan tersebut terpaksa dibatalkan kerana Ayew [hujung kakinya] telah berada dalam keadaan ofsaid.

Kombinasi menarik kedua-dua pemain terus menjadi igauan ngeri buat pasukan lawan selepas gerakan cantik dilancarkan mereka berjaya disudahkan oleh Martial walaupun beliau sudah hampir terjatuh bagi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-78.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk Manchester United mengumpul mata ke-62 selepas mengharungi 36 perlawanan liga. Kemenangan ini juga menyaksikan Manchester United melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 19 perlawanan.

Kredit featured image: Premier League

Leave a Reply