EPL: Man City, Man Utd, Chelsea & Liverpool Semuanya Menang Dengan Penalti

EPL Penalti

Pasukan yang menang dengan sepakan penalti sering dianggap sekadar bernasib baik kerana perlu mengharapkan ‘ehsan’ pengadil. Sedangkan elemen ‘tuah’ juga merupakan sebahagian dari bola sepak.

Apa yang menarik pada minggu ini, empat dari enam pasukan besar Liga Perdana Inggeris (EPL) pada minggu ini semuanya menang dengan penalti.

Manchester City mengatasi Wolverhampton Wanderers di Stadium Etihad hasil jaringan penalti Raheem Sterling pada minit k-66 setelah Joao Moutinho dipersalahkan kerana menghalang hantaran lintang Bernardo Silva dengan menggunakan lengannya dalam kotak penalti.

Pertembungan Chelsea dengan Leeds United di Stamford Bridge pula berlangsung dengan lebih dramatik yang menyaksikan tiga gol terhasil dari sepakan penalti termasuk jaringan penalti Jorginho pada masa kecederaan.

Leeds terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti Raphinha sebelum Mason Mount menyamakan kedudukan sebelum rehat. Jorginho meletakkan Chelsea di depan menerusi penalti pada minit ke-58.

Tujuh minit sebelum tamat 90 minit permainan Joe Gelhardt mengikat kedudukan menjadi 2-2 sebelum Leeds menelan kekecewaan setelah Mateusz Klich melakukan kesilapan menjatuhkan Antonio Rudiger dalam kotak penalti di penghujung perlawanan.

Seterusnya Liverpool turut menarik nafas lega selepas jaringan penalti Mohamed Salah pada minit ke-67 memberi kemenangan tipis 1-0 ke atas Aston Villa yang dibimbing bekas pemainnya Steven Gerrard.

Barisan pertahanan Villa yang berdisiplin mengekang asakan sepanjang 65 minit akhirnya pasrah menelan kepahitan akibat kesilapan Tyrone Mings yang menjatuhkan Salah dalam kotak penalti.

Aksi yang berlangsung lebih lewat, Manchester United terus mencatat keputusan positif di bawah bimbingan pengurus interim Ralf Rangnick, tetapi juga memerlukan sepakan penalti untuk menang 1-0 ke atas Norwich City hasil jaringan Cristiano Ronaldo.

Pengadil membuat keputusan tepat untuk menghadiahkan penalti selepas mengesan Max Aarons menarik baju penyerang Portugal berkenaan dalam kotak penalti.

Keputusan lain menyaksikan Arsenal menang selesa 3-0 ke atas Southampton, sementara Brentford pula menewaskan Watford 2-1.

Leave a Reply