Mohamed Salah sekali lagi menjaringkan gol berkelas dunia di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk membantu Liverpool ‘kenduri besar’ menewaskan Watford 5-0 di Vicarage Road yang turut menyaksikan catatan hatrik oleh Roberto Firmino.
Kepulangan Caludio Raneiri ke EPL selepas dilantik sebagai pengurus baharu The Hornet nampaknya tidak memberikan keputusan yang diharapkan apabila beliau terpaksa menyaksikan pasukannya dibelasah di hadapan penyokong sendiri.
Liverpool mendahului seawal minit kesembilan menerusi Sadio mane yang menyudahkan hantaran cantik Salah dari sebelah kanan sebelum Roberto Firmino menyumbang gol kedua pada minit ke-37 dengan mudah menyudahkan hantaran lintang rendah James Milner.
Penyerang Brazil berkenaan menambah gol kedua tujuh minit selepas waktu rehat. Hanya dia minit kemudian, Salah menjaringkan gol yang cukup istimewa dan berkelas dunia dan menewaskan Ben Foster untuk kali keempat.
Penyerang Mesir tersebut yang menjaringkan gol luar biasa ketika menentang Manchester City tempoh hari sekali lagi membuktikan bahawa gerakan cantiknya mengawal bola dan mengatasi kawalan pertahanan lawan di dalam kotak penalti merupakan kemahiran semula jadinya.
Mo Salah – best in the world.😍 https://t.co/pGCzYC7kcN
— Kloppholic (@Kloppholic) October 16, 2021
Tuah ternyata milik Firmino yang berada di tempat yang betul pada masa yang tepat untuk melengkapkan catatan hatriknya pada penghujung perlawanan dengan sekali lagi mudah menolak hantaran lintang Neco Williams.
Jurgen Klopp yang menurunkan barisan terbaiknya dalam perlawanan ini pastinya lega untuk melihat pasukannya kini memimpin carta liga dengan 18 mata sekurang-kurangnya untuk sementara waktu sebelum menantikan keputusan melibatkan Chelsea yang akan beraksi lebih lewat selepas ini.