EPL: ‘DNA Jerman Menjadi’, Skuad Tuchel Terlalu Gagah Untuk Leicester

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea kembali beraksi pada minggu ini selepas tamat kalendar antarabangsa dengan bertandang ke Stadium King Power untuk berhadapan Leicester City.

Rancak sejak awal perlawanan, Chelsea sepatutnya mendahului perlawanan seawal minit ke-4, namun percubaan Ben Chilwell yang juga merupakan bekas pemain Leicester sekadar mengegarkan tiang gol.

Dan ketika perlawanan baru berusia 15 minit, Chelsea sudah pun mendahului perlawnan 1-0 apabila pemain pertahanan Jerman, Antonio Rudiger bijak menanduk ke belakang sepakan penjuru Chilwell untuk menewaskan Kasper Schmeichel.

Leicester hampir dihukum lagi seminit selepas itu apabila hantaran cantik dari bawah oleh Jorginho berjaya melepaskan N’Golo Kante. Mujurlah Schmeichel lebih bersedia dalam situasi satu lawan satu untuk menafikan pemain antarabangsa Perancis itu.

Minit ke-25 perlawanan Leicester dinafikan jaringan penyamaan apabila Ademola Lookman sudah pun berada di kedudukan ofside ketika merembat masuk bola ke gawang Chelsea.

Chelsea menggandakan kedudukan selepas itu apabila larian yang dilakukan Kante disudahkan dengan rembatan dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-28 perlawanan.

Dominasi Chelsea kendalian Thomas Tuchel dalam perlawanan ini begitu ketara apabila berjaya menghasilkan tujuh percubaan ke arah gawang Leicester, manakala pasukan tuan rumah gagal mendaftarkan sebarang percubaan sepanjang 45 minit pertama perlawanan.

Babak kedua bermula menyaksikan Leicester cuba memberi saingan untuk menguasai bahagian tengah.

Namun gawang mereka diuji sekali lagi melalui rembatan leret Chilwell yang memaksa Schmeichel merebahkan badan untuk menyelamatkan percubaan pemain England itu pada minit ke-53.

Percubaan Callum Hudson-Odoi selepas satu larian dari sebelah kiri ke dalam kotak penalti Leicester pada minit ke-61 pula sedikit tersasar tinggi.

Seminit selepas itu giliran Daniel Amartey pula memaksa Edouard Mendy beraksi cemerlang menangkis rembatan deras pemain  tengah Leicester itu dari luar kotak penalti.

Chelsea terus melebarkan kedudukan kepada 3-0 pada minit ke-72 perlawanan, apabila Christian Pulisic menyempurnakan hantaran lintang pendek Hakim Ziyech.

Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh skuad Brendan Rodgers selepas itu selain untuk mengelakkan kekalahan lebih besar berlaku. Mujurlah tiga jaringan Chelsea selepas itu dibatalkan kerana ofside.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dan ini bermakna Chelsea terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris buat masa ini.

Leave a Reply