Chelsea memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Brighton & Hove Albion 3-1 pada aksi yang berlangsung di Amex Stadium, sebentar tadi.
Frank Lampard yang mencuri tumpuan apabila membawa masuk enam nama besar bagi menghadapi musim baharu hanya dapat menurunkan Timo Werner dan Kai Havertz pada perlawanan ini.
Brighton bagaimanapun tampil dengan kemas terutamanya pada separuh masa pertama apabila lebih mendominasi permainan serta melakukan beberapa gerakan menarik ke kubu Chelsea.
Namun, kecuaian Steven Alzate yang sedikit cuai dalam melakukan hantaran ke belakang membolehkan Werner merampas bola dan kemudiannya meluru pantas ke kawasan penalti tuan rumah.
Penjaga gol, Matthew Ryan yang cuba menyelamatkan keadaan terpaksa melakukan kekasaran terhadap pemain skuad kebangsaan Jerman itu sekaligus telah memberikan sepakan penalti buat Chelsea.
Jorginho yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk memperdayakan Ryan bagi membuka tirai jaringan pada minit ke-23.
Alzate cuba untuk menebus kesilapannya itu pada minit ke-35, tetapi rembatan padunya dari luar kawasan penalti Chelsea berjaya ditepis keluar penjaga gol, Kepa Arrizabalaga.
Jaringan penyamaan yang dinantikan kem Brighton menjelma pada minit ke-54 setelah percubaan dari luar kawasan penalti Leandro Trossard selepas menerima hantaran daripada Tariq Lamptey gagal dinafikan Kepa.
Kegembiraan pasukan tuan rumah itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama dua minit apabila Reece James meletakkan Chelsea sekali lagi di hadapan menerusi ledakan padu dari luar kawasan penalti. Jaringan menarik itu juga merupakan gol sulungnya dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Kurt Zouma terus mengukuhkan kedudukan buat pasukan dari London itu selepas percubaannya hasil sepakan sudut yang diambil James pada minit ke-66 membias terkena pemain pertahanan, Adam Webster dan tidak mampu diselamatkan Ryan.
Kemenangan ini cukup penting buat Chelsea sebagai tonik berguna menjelang pertembungan sukar menentang Liverpool pada aksi kedua yang bakal berlangsung di Stamford Bridge, Ahad nanti.
Kredit featured image: Chelsea FC