Liverpool meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 setelah berjaya menundukkan Arsenal 3-1 pada aksi ketiga yang berlangsung di Anfield, sebentar tadi.
Kejayaan meraih tiga mata penuh ke atas kelab dari London Utara itu menyaksikan Liverpool kini menghuni tangga ketiga liga selepas berkongsi sembilan mata bersama Leicester City dan Everton.
The Reds yang mendominasi sebahagian besar aksi terutamanya pada separuh masa pertama mendapat peluang terbaik bagi membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi Sadio Mane.
Rembatan padu diledakkan Mane selepas menerima hantaran lintang daripada Trent Alexander-Arnold bagaimanapun berjaya dinafikan dengan cemerlang penjaga gol Arsenal, Bernd Leno.
Berselang enam minit kemudian, rembatan dari jarak jauh Alexander-Arnold pula membias terkena Hector Bellerin lalu bola sekadar singgah di palang gol The Gunners ketika Leno sudah pun tertewas.
Ketika para pemain Liverpool semakin bernafsu untuk memburu jaringan pembukaan, satu serangan balas pantas dilakukan Arsenal berjaya memerangkap skuad bimbingan Jurgen Klopp itu memaksa pemain bek kiri, Andy Robertson membuat kesilapan.
Berpunca daripada hantaran lintang Ainsley-Maitland Niles terkena Robertson dan beliau tidak dapat untuk mengawal bola dengan baik, ia terus memberikan ruang kepada Alexandre Lacazette yang tidak dikawal bagi melakukan percubaan sekaligus menewaskan Alisson Becker di gawang Liverpool pada minit ke-25.
Kegembiraan kem Arsenal itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama tiga minit apabila Mane berada di kedudukan tepat untuk menolak mudah bola susulan percubaan awal Mohamed Salah yang ditepis keluar Leno.
Mendapat tonik hasil jaringan tersebut, Liverpool tidak memandang ke belakang lagi untuk mencipta deretan gerakan berbahaya ke kubu Arsenal dan ianya berhasil pada minit ke-34.
Jaringan kedua juara bertahan itu menjelma setelah hantaran lintang cantik dilakukan Alexander-Arnold terus mencari Robertson yang bijak melakukan larian ke dalam kawasan penalti pasukan pelawat untuk menyempurnakan peluang terhidang.
Lacazette pastinya menjadi pemain yang mahu segera melupakan perlawanan ini apabila beliau memiliki peluang keemasan apabila hantaran menarik dilakukan Dani Ceballos membolehkan beliau hanya berhadapan dengan Alisson.
Bagaimanapun, rembatan terus dilakukannya pada minit ke-63 itu tidak mampu untuk membolosi kawalan penjaga gol skuad kebangsaan Brazil tersebut.
Ketika aksi sebenar hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan, Diogo Jota mencetakkan nama selaku penjaring pada penampilan sulungnya bersama Liverpool susulan percubaannya yang hanya mampu dipandang oleh Leno bagi melengkapkan kemenangan 3-1 tersebut.
Kredit featured image: Jason Cairnduff – Pool/Getty Images