EPL 2020/21: Man Utd Sudah Kembali, Newcastle United Jadi Mangsa Amukan

Man Utd

Manchester United berjaya bangkit daripada ‘igauan ngeri’ dua minggu lalu apabila berjaya mencatatkan kemenangan selesa 4-1 ke atas Newcastle United pada perlawanan keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 yang berlangsung di St James’ Park, sebentar tadi.

Menghadapi perlawanan ini dengan misi wajib menang bagi meningkatkan kembali moral pasukan, para pemain Manchester United tampil dengan lebih garang apabila mendominasi hampir keseluruhan permainan.

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu bagaimanapun tersentak seawal minit kedua perlawanan setelah Luke Shaw tertampan bola ke gawang sendiri dalam cubaannya untuk menghalang hantaran lintang dilakukan Emil Krafth.

Tidak mahu terus dirundung malang, United hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-19 menerusi Bruno Fernandes. Ledakannya yang sudah pun berjaya menewaskan penjaga gol, Karl Darlow itu terpaksa dibatalkan selepas Video Assistant Referee (VAR) mengesahkan Juan Mata terlebih dahulu dikesan ofsaid ketika beliau cuba melakukan hantaran kepada Fernandes dalam kawasan penalti.

Ketua pasukan, Harry Maguire yang ketika ini menjadi mangsa kecaman membuktikan beliau mampu memberikan sumbangan berguna buat pasukan apabila tandukannya hasil sepakan sudut Juan Mata berjaya menyamakan kembali kedudukan pada minit ke-23.

Selepas itu, jentera serangan yang diketuai Marcus Rashford secara berterusan memberikan tekanan dengan asakan demi asakan ke kubu tuan rumah. Bagaimanapun ketangkasan Darlow jelas menghampakan untuk kedudukan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Manchester United dihadiahkan sepakan penalti selepas Rashford dikasari Jamal Lewis dalam kawasan penalti.

Namun, Bruno Fernandes gagal menyempurnakan sepakan pada minit ke-58 itu apabila Darlow bijak membaca arah sepakan untuk menyelamatkan keadaan. Ia juga merupakan pertama kali Fernandes gagal menyempurnakan sepakan penalti sejak bersama United selepas 10 kali beliau berjaya melakukannya.

Tandukan Maguire berselang seminit kemudian pula berjaya diselamatkan di atas garisan oleh Jonjo Shelvey.

Bagaikan mendapat semangat tambahan, Manchester United  ‘mengamuk’ pada sepuluh minit terakhir [termasuk masa tambahan] setelah berjaya menambah tiga jaringan dalam tempoh tersebut.

Ia bermula dengan jaringan Fernandes pada minit ke-86 setelah beliau menerima umpanan daripada Rashford lalu melakukan percubaan yang sekali gus tidak mampu dihalang Darlow bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Rashford terus menjadi watak penting dalam penghasilan jaringan United selepas hantarannya kepada Aaron Wan-Bissaka pada minit ke-90 disudahkan dengan cukup baik pemain bek kanan itu dengan ledakan padu dalam kawasan penalti bagi mengukuhkan kedudukan.

Tidak cukup dengan tiga jaringan tersebut, United menambah gol keempat di masa kecederaan dan giliran Rashford pula untuk mencetak nama selaku penjaring untuk perlawanan berkesudahan dengan kemenangan 4-1 buat The Red Devils.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kemasukan Donny van de Beek pada minit ke-76 bagi menggantikan Daniel James menjadi antara faktor kepada kebangkitan lewat permainan ini.

Kemenangan kedua itu meletakkan Manchester United pada ketika ini di tangga ke-14 selepas mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan. Newcastle United yang meraih dua kemenangan, satu keputusan seri dan dua kekalahan pula menghuni tangga ke-11 dengan tujuh mata.

Kredit featured image: Owen Humphreys – Pool/Getty Images

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN