Leeds United gagal menggunakan kelebihan beraksi dengan lebih seorang pemain hampir 40 minit perlawanan apabila terikat tanpa jaringan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 yang berlangsung di Elland Road, sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri, Leeds United nyata begitu bersemangat untuk mencatatkan positif selepas tumbang 1-4 pada dua perlawanan terdahulu menentang Leicester City dan Crystal Palace. Sementara itu, Arsenal pula mahu segera melupakan kekalahan 0-3 bertemu Aston Villa.
Ketika Arsenal dilabel sebagai pasukan pilihan pada perlawanan ini, segalanya tampak meleset apabila skuad bimbingan Mikel Arteta itu jelas seperti kehilangan punca untuk menjelmakan persembahan menarik.
Meskipun tiada jaringan yang dapat dihasilkan, aksi yang dipamerkan terutamanya menerusi Leeds United begitu menghiburkan. Bagaimanapun tuah nyata tidak menyebelahi anak buah Marcelo Bielsa itu apabila tiga percubaan menarik pada lewat permainan sekadar singgah di tiang dan palang gol.
Dani Ceballos terlebih dahulu menguji gawang Leeds United yang dikawal Illan Meslier pada minit ke-10 tetapi ledakan padu dilepaskannya dari luar kawasan penalti sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol. Dua minit kemudian, Patrick Bamford pula hadir untuk memberikan ancaman buat Arsenal, namun percubaannya dari jarak dekat ditangkap kemas Bernd Leno.
Nicolas Pepe hampir meletakkan The Gunners di hadapan pada minit ke-21 tetapi hantaran lintangnya yang terus ke arah pintu gol Leeds United hanya singgah di palang gol. Selepas daripada itu, penguasaan Leeds United semakin jelas kelihatan sehingga membuatkan barisan pemain Arsenal begitu agak bergelut untuk memberikan saingan.
Peluang terbaik yang hadir buat Leeds menjelma pada minit ke-31 setelah Bamford melepaskan percubaan voli dalam kawasan penalti yang bagaimanapun dinafikan dengan cemerlang Leno bagi menyelamatkan keadaan.
Memasuki aksi babak kedua, Arsenal dirundung malang apabila Pepe dilayangkan kad merah susulan kekasarannya terhadap pemain pertahanan lawan, Ezgjan Alioski pada minit ke-51. Kesempatan itu memberikan peluang buat Leeds untuk terus mendominasi permainan.
Leno bagaimanapun terus cemerlang menggagalkan usaha The Peacocks setelah beliau menafikan rembatan padu Stuart Dallas pada minit ke-64. Sepakan lencong Rodrigo Moreno pula kemudiannya hanya singgah di palang gol.
Meskipun diberikan tekanan hebat, Arsenal masih berupaya untuk menghadirkan ancaman berbahaya buat Leeds United. Tetapi Meslier memperagakan ketangkasannya pada minit ke-84 dengan menafikan percubaan Bukayo Saka ketika situasi satu lawan satu dengan pemain muda tersebut.
Dua lagi peluang keemasan yang dimiliki Leeds United pada lewat permainan turut dinafikan palang gol untuk kedudukan terikat itu kekal hingga tamat perlawanan. Dengan keputusan seri yang diraih, Arsenal kini menghuni tangga ke-11 dengan 13 mata manakala Leeds United pula menduduki tempat ke-14 selepas mengumpul 11 mata.
Kredit featured image: Michael Regan/Getty Images