Jaringan tunggal pemain tonggak Tottenham Hotspur, Son Heung-min pada lewat permainan sudah cukup untuk membantu kelab tersebut meraih kemenangan ketiga pada musim ini selepas berjaya menundukkan Burnley 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 di Turf Moor, awal pagi tadi.
Kemenangan yang diraih bagaimanapun tidak datang dengan mudah terutamanya pada separuh masa pertama kerana skuad bimbingan Jose Mourinho itu tidak mampu menjelmakan sebarang percubaan tepat pada 45 minit awal.
Manakala Burnley yang masih mengintai kemenangan sulung pada musim ini kelihatan cukup garang untuk mendapatkan jaringan pembukaan. Namun, ketangkasan penjaga gol yang merupakan kapten Tottenham, Hugo Lloris menggagalkan usaha The Clarets.
Ashley Barnes hampir meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-20 apabila ledakannya sudah berjaya menewaskan Hugo Lloris, tetapi penyerang berusia 30 tahun itu terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Percubaan padu dari luar kawasan penalti oleh ketua pasukan, Ashley Westwood pada minit ke-38 pula ditangkap kemas Lloris bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Lloris terus bertindak cemerlang selepas beliau menafikan rembatan leret dari luar kawasan penalti yang diledakkan oleh Johann Gudmundsson pada lewat aksi separuh masa pertama.
Kevin Long turut terlepas peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan apabila tandukannya ketika situasi sepakan sudut berjaya diselamatkan di atas garisan gol oleh Harry Kane pada minit ke-71.
Selepas membantu jentera pertahanan dalam mengekang asakan tersebut, Kane memberikan sumbangan cukup bermakna dalam penghasilan gol kemenangan buat Spurs apabila tandukannya tepat mencari Son yang kemudiannya berjaya menewaskan Nick Pope juga menerusi tandukan.
Walaupun cuba untuk menambah jaringan kedua, kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan bagi melonjakkan Tottenham Hotspur di tangga kelima dengan mengumpul 11 mata hasil tiga kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan.
Sementara itu, Burnley yang kekurangan satu perlawanan berada di zon penyingkiran apabila menduduki tangga ke-18. Skuad bimbingan Sean Dyche itu sekadar mengutip satu mata selepas mengharungi lima perlawanan.
Kredit featured image: Lindsey Parnaby – Pool/Getty Images