Manchester City kembali mencatatkan kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 selepas berjaya menundukkan Arsenal 1-0 pada aksi yang berlangsung di Etihad Stadium, sebentar tadi.
Kemenangan itu hadir tepat pada masanya bagi meningkatkan moral The Cityzens selepas skuad bimbingan Pep Guardiola itu tumpas mengejut 2-5 di tangan Leicester City manakala minggu berikutnya diikat pendatang baharu EPL, Leeds United dengan keputusan 1-1.
Meskipun beraksi tanpa perancang kreatif, Kevin De Bruyne yang mengalami kecederaan sewaktu tugasan skuad kebangsaan, Manchester City dilihat tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan terutamanya pada separuh masa pertama.
Gol yang dinantikan kem tuan rumah menjelma pada minit ke-23 apabila Raheem Sterling menggunakan kesempatan terhidang dengan menolak masuk bola selepas percubaan awal Phil Foden ditepis penjaga gol, Bernd Leno untuk membuka tirai jaringan.
Pemain muda Arsenal, Bukayo Saka mendapat peluang terbaik untuk kembali menyamakan kedudukan, tetapi penjaga gol Manchester City, Ederson Moraes lebih bersedia untuk menafikan percubaannya dari sebelah kanan pintu gol.
Minit ke-40 turut menyaksikan pemain berusia 19 tahun itu sekali lagi kecewa walaupun beliau hanya berhadapan dengan Ederson apabila penjaga gol kelahiran Brazil itu menggagalkan percubaan dari jarak dekat dengan menggunakan bahunya.
Memasuki babak kedua, tidak banyak yang boleh diperkatakan apabila kedua-dua pasukan hanya mampu menjelmakan satu percubaan tepat ke pintu gol lawan masing-masing sekali gus jaringan tunggal Sterling itu sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan kedua buat Manchester City pada musim ini.
Dengan kemenangan itu, Manchester City yang baharu beraksi empat perlawanan berada di tangga ke-10 dengan tujuh mata manakala Arsenal di tangga kelima dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan dua kekalahan setakat ini.
Kredit featured image: Michael Regan/Getty Images