Jaringan tunggal Everton menerusi sepakan penalti ketua pasukan, Gylfi Sigurdsson di Goodison Park sebentar tadi sudah cukup untuk menamatkan rekod tanpa kalah Chelsea dalam sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21.
Meskipun Chelsea mendominasi aksi sejak dari awal permainan, Everton terlebih dahulu menguji gawang pasukan pelawat seawal minit keenam susulan gerakan cantik dijelmakan Sigurdsson dalam kawasan penalti tetapi percubaan Richarlison mudah ditangkap Edouard Mendy.
Kem tuan rumah kemudiannya melonjak kegembiraan pada minit ke-22 apabila Sigurdsson dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti berikutan kekasaran yang dilakukan Mendy terhadap penyerang utama, Dominic Calvert-Lewin.
Tersentak dengan jaringan pendahuluan itu, Chelsea memperkemaskan aksi dan tampil dengan lebih bertenaga untuk mencipta dua percubaan pantas menerusi Reece James.
Bermula dengan percubaan menerusi sepakan percuma menarik berjaya ditepis Jordan Pickford pada minit ke-23 dan hanya seminit kemudian, pemain berusia 21 tahun itu meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti yang hanya singgah di tiang gol.
Dua minit kemudian giliran Kurt Zouma pula mendapat peluang dalam kawasan penalti, namun percubaan jarak dekat dilakukannya masih mampu dinafikan Pickford yang cukup cemerlang pada perlawanan ini.
Everton yang sesekali mendapat ruang hampir menambah jaringan pada minit ke-40 tetapi Richarlison yang hanya berdepan Mendy dalam kawasan penalti gagal membolosi kawalan penjaga gol skuad kebangsaan Senegal tersebut.
Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan cuba untuk mengubah kedudukan tetapi Richarlison masih lagi gagal untuk menewaskan Mendy apabila beliau melakukan percubaan dalam kawasan penalti pada minit ke-52.
Sepakan percuma yang cukup baik dilepaskan oleh Mason Mount juga sekadar singgah di tiang gol ketika Pickford sudah pun tertewas.
Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan Everton di tangga ketujuh dengan 20 mata manakala Chelsea menduduki tangga ketiga dengan 22 mata.
Kredit featured image: Jon Super – Pool/Getty Images