Everton berjaya mengekang asakan hebat diberikan Fulham terutamanya pada babak kedua untuk mencatatkan kemenangan 3-2 pada aksi kesembilan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 yang berlangsung di Craven Cottage, sebentar tadi.
Kejayaan itu juga bermakna Everton kembali bangkit daripada tiga kekalahan berturut-turut yang dialami skuad tersebut dalam kempen liga sebelum ini.
Kemenangan yang diraih tersebut meletakkan skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu pada ketika ini menghuni tangga keenam selepas mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan yang dialami.
Selain daripada menjaringkan dua gol pada perlawanan ini, Dominic Calvert-Lewin turut mencuri tumpuan apabila beliau berjaya membuka tirai jaringan ketika perlawanan baharu sahaja memasuki saat ke-42.
Jaringan tersebut terhasil susulan daripada hantaran lintang Richarlison yang mencari Calvert-Lewin dalam kawasan penalti sekali gus membolehkan penjaring terbanyak EPL dengan 10 gol itu menolak mudah bola bagi menewaskan penjaga gol Fulham, Alphonse Areola.
Tersentak dengan gol pantas itu, Fulham mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan tetapi percubaan Bobby Decordova-Reid setelah menerima umpanan daripada Antonee Robinson berjaya dihalang Jordan Pickford di gawang Everton pada minit ke-13.
Reid bagaimanapun berjaya menebus kesilapan tersebut berselang dua minit kemudian apabila beliau berjaya menyempurnakan peluang terhidang selepas mendapat lorongan cantik daripada Tom Cairney bagi kembali mengikat kedudukan.
Calvert-Lewin terlepas peluang untuk meletakkan The Toffees kembali di hadapan apabila jaringannya pada minit ke-18 dibatalkan selepas beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam keadaan ofsaid.
Gandingan Richarlison dan Calvert-Lewin jelas memberikan masalah buat pertahanan Fulham apabila duo pemain tersebut berhasil menjelmakan percubaan menarik ke kubu Fulham pada minit ke-21 tetapi rembatan Richarlison dalam kawasan penalti ditepis keluar Areola.
Kem Everton kemudiannya kembali ceria pada minit ke-29 apabila Calvert-Lewin tidak berdepan masalah untuk menolak mudah hantaran lintang yang cukup menarik dilakukan Lucas Digne untuk jaringan kedua peribadinya.
Digne terus mempamerkan kualiti hebat dimilikinya apabila sekali lagi hantarannya dari sebelah kanan pintu gol Fulham terus ditanduk masuk Abdoulaye Doucoure pada minit ke-35 bagi menjadikan kedudukan 3-1.
Memasuki babak kedua, Fulham yang dibimbing Scott Parker mempamerkan aksi lebih bertenaga dengan menguasai permainan dan hampir merapatkan jurang pada minit ke-68.
Bagaimanapun sepakan penalti yang diberikan pada minit ke-68 selepas Ben Godfrey mengasari Ruben Loftus-Cheek gagal disudahkan dengan baik oleh Ivan Cavaleiro setelah pemain kelahiran Portugal itu tergelincir ketika mengambil sepakan sehingga menyebabkan bola melambung tinggi.
Dua minit kemudian, Loftus-Cheek mengurangkan defisit jaringan setelah percubaannya terkena Yerry Mina lalu membolosi gawang Everton, tetapi ia masih belum cukup untuk Everton melangkah pada perlawanan ini selaku pemenang.
Kredit featured image: John Sibley – Pool/Getty Images