EPL 2020/21: Chelsea Kembali Bangkit, Tundukkan West Ham 3-0

Chelsea

Chelsea kembali mempamerkan kebangkitan apabila berjaya menundukkan West Ham United 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 yang berlangsung di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Kemenangan pada Derbi London itu nyata amat penting buat skuad bimbingan Frank Lampard yang sebelum ini tewas dalam dua perlawanan terdahulu di tangan Everton [0-1] dan Wolves [1-2].

Pasukan pelawat hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Declan Rice tetapi jaringan bekas pemain akademi Chelsea itu dibatalkan selepas beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam keadaan ofsaid.

Malang menimpa bek kanan Chelsea, Ben Chilwell yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-24 semalam setelah beliau terpaksa dikeluarkan pada minit ke-10 berikutan kecederaan buku lali yang dialaminya ketika cuba untuk bersaing mendapatkan bola daripada Jarrod Bowen.

Bagaimanapun, pada waktu sama ia langsung tidak merentap semangat Chelsea untuk berada di hadapan selepas Thiago Silva yang tidak dikawal pertahanan West Ham berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan sudut diambil Mason bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Chelsea yang bolos tiga gol pada dua perlawanan sebelum ini tampil dengan lebih kemas terutamanya di jentera pertahanan sehingga menyukarkan bahagian serangan skuad kendalian David Moyes untuk menjelmakan serangan.

Ia jelas terbukti apabila The Hammers gagal untuk mendapatkan walau sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol Chelsea yang dikawal Edouard Mendy pada perlawanan ini.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Tammy Abraham untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-78 selepas beliau tenang melakukan kuisan mudah untuk menewaskan penjaga gol, Lukasz Fabianski setelah menerima hantaran cantik dari Timo Werner.

Berselang dua minit kemudian, Abraham menambah jaringan kedua peribadinya sekali gus mengesahkan kemenangan ketujuh buat Chelsea untuk melonjakkan kelab tersebut ke tangga kelima dengan mengumpul 25 mata. Manakala, West Ham United pula kini menduduki tempat ke-10 dengan 21 mata.

Kredit featured image: Chris Lee – Chelsea FC/Chelsea FC via Getty Images

 

Leave a Reply