Dua kelab gergasi, Manchester City dan Liverpool berpuas hati dengan satu mata apabila terikat 1-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 yang berlangsung di Stadium Etihad, sebentar tadi.
Aksi yang pastinya dinantikan oleh peminat bola sepak dunia itu bagaimanapun sedikit hambar apabila tidak banyak serangan berbahaya yang dapat dilancarkan oleh kedua-dua pasukan tersebut.
Liverpool yang masih segar dengan kemenangan besar bertemu Atalanta di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tampil garang pada awal permainan dengan beberapa gerakan untuk mengkucar-kacirkan jentera pertahanan tuan rumah.
Usaha skuad bimbingan Jurgen Klopp itu membuahkan hasil pada minit ke-13 apabila Mohamed Salah berjaya membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti.
Sepakan tersebut dihadiahkan kepada Liverpool susulan kekasaran yang dilakukan oleh Kyle Walker terhadap Sadio Mane. Salah yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol Manchester City, Ederson Moraes.
Tersentak dengan jaringan awal tersebut, Manchester City tampil dengan lebih baik untuk kembali menyamakan kedudukan tetapi percubaan Raheem Sterling dalam kawasan penalti lawan setelah menerima umpanan Kevin De Bruyne gagal membolosi kawalan Alisson Becker pada minit ke-25.
Jaringan penyamaan yang diharapkan anak buah Pep Guardiola itu menjelma berselang enam minit kemudian apabila Gabriel Jesus melakukan ‘turning’ hasil hantaran cantik dari De Bruyne dan kemudiannya dengan tenang menolak masuk bola untuk mengikat kedudukan.
Manchester City selepas itu terlepas peluang keemasan untuk mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-42 setelah De Bruyne gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil perlawanan, Craig Pawson.
Percubaan pemain skuad kebangsaan Belgium itu tersasar di sebelah kanan pintu gol Liverpool ketika Alisson sudah pun melayangkan badannya ke arah bertentangan.
Dua minit kemudian, Trent Alexander-Arnold pula hampa selepas percubaannya dari jarak dekat berjaya diselamatkan Ederson walaupun pada mulanya bola melepasi celah kaki penjaga gol tersebut.
Memasuki separuh masa kedua, tidak banyak yang dapat diperkatakan walaupun kedua-dua pasukan dilihat berusaha keras untuk mendapatkan jaringan dan turut memperagakan corak permainan pantas ke kubu lawan masing-masing.
Ia bagaimanapun masih belum cukup untuk mengubah keadaan sekali gus kedudukan terikat tersebut kekal hingga tamat permainan.
Kredit featured image: Clive Brunskill/Getty Images