EPL 2019/20: Manchester United Kembali ke Landasan Kemenangan

Manchester United memanjat ke kedudukan ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meraih kemenangan selesa 3-1 ke atas Brighton & Hove Albion di Old Trafford.

United hanya membuat satu pertukaran dalam kesebelasan utama mereka sewaktu mereka tewas mengejut kepada Bournemouth pada hujung minggu lepas.

Anak jati Manchester berusia 19 tahun, Brandon Williams membuat penampilan pertamanya musim ini menggantikan Ashley Young digantung perlawanan.

Manchester United turun dalam perlawanan ini dengan misi mahu mengurangkan jarak mata dengan empat pasukan teratas dan menyasarkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan.

Daniel James yang baru sahaja menyambut hari kelahirannya berdepan dengan bekas pengurusnya di Swansea, Graham Potter.

Berbekalkan tonik kemenangan 3-0 mengatasi Partizan Belgrade serta kejayaan melangkah ke pusingan kalah mati dalam saingan Liga Europa tempoh hari, United dilihat begitu garang di awal permainan dengan percubaan awal oleh Marcus Rashford.

Andreas Pereira terlebih dahulu meletakkan United di hadapan pada minit ke-17 selepas rembatannya dalam kotak penalti terbias pada Dale Stephens. Ianya adalah gol pertama Pereira pada musim ini dan ketiga sepanjang tiga musim terakhir pemain berkenaan.

Tiga minit selepas itu, keadaan kelam kabut di hadapan gol dimanfaatkan Scott McTominay yang dilihat meraikan gol. Namun rakaman semula menunjukkan ianya adalah gol sendiri oleh Davy Proper.

Terdapat bantahan dari pemain Brighton yang mendakwa Harry Maguire mengasari pemain mereka. Namun semakan VAR mengesahkan gol United.

Bermula babak kedua, Brighton mengubah formasi mereka kepada 3-5-2 dengan mengeluarkan Aaron Connolly dan Martin Montoya dan memasukkan Glenn Murray dan Solly March.

Williams bernasib baik selepas tindakannya mengangkat kaki terlalu tinggi sehingga mengasari Steven Alzate nyaris memberikannya kad merah. Namun pengadil hanya memberikannya kad kuning selepas memeriksa VAR.

Fred memperoleh peluang untuk menambah gol ketiga United, namun percubaannya dari jarak 25 ela menyaksikan bola hanya singgah di palang gol.

Minit ke-64, Brighton merapatkan kedudukan menerusi sepakan sudut. Lewis Dunk yang sepatutnya dikawal oleh Pereira berjaya melepaskan diri dan membuat tandukan kencang menewaskan David De Gea.

Namun hanya dua minit selepas itu, United memberi respon dengan menambah jaringan menerusi Rashford yang menerima hantaran Anthony Martial menjadikan kedudukan 3-1.

Pada minit-minit akhir perlawanan, McTominay dilihat mengalami kecederaaan di bahagian buku lalinya dan terpaksa dibawa keluar oleh pasukan perubatan dan sedikit mengganggu keceriaan meraih tiga mata berharga.

Tamat perlawanan, United akhirnya kembali ke landasan kemenangan namun terpaksa membayarnya dengan kecederaan yang dialami McTominay.

United ternyata pasukan yang lebih baik dalam perlawanan ini dengan mencatatkan 21 percubaan berbanding enam oleh Brighton.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN